GERIK – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menerima petunjuk menerusi isyarat asap dipercayai dari pendaki yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans GBB (Gunung Gerah, Bilah, dan Bieh) kira-kira sejam dari Kem Kulim, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, isyarat itu dikesan ketika pihaknya melakukan tinjauan udara menggunakan pesawat Mi-17 JBPM.
Menurutnya, pesawat itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang dan tiba di Pos Kemar pada jam 4.30 petang bagi membantu operasi mengesan kumpulan pendaki berkenaan.
“Sebaik tiba, taklimat berkaitan situasi semasa serta perancangan operasi dijalankan bersama kapten pesawat sebelum tinjauan udara dilaksanakan.
“Berdasarkan penelitian dan perbincangan antara pihak JBPM, Jabatan Perhutanan serta maklumat pesanan ringkas (SMS) terakhir mangsa pada 1 September lalu, kumpulan berkenaan dipercayai menggunakan laluan Gunung Bieh, Gunung Sepat, Gunung Belatoh, Kampung Agek, Gunung Bongok dan seterusnya ke Pos Kemar.
“Pada jam 5.15 petang, pihak Jabatan Perhutanan turut menerima maklumat mengenai mesej yang tersebar daripada mangsa memaklumkan bahawa kesemua mereka selamat tiba di Gunung Bongok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pesawat berkenaan kemudian membawa 11 anggota pasukan SAR terdiri daripada lima anggota JBPM, empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), seorang anggota Perhutanan dan seorang anggota Masyarakat Orang Asli (MGP) ke Kem Kulim.
“Berdasarkan tinjauan udara, pasukan SAR berjaya mengesan isyarat asap yang dibuat mangsa, dengan lokasi mereka dianggarkan sekitar satu jam perjalanan dari Kem Kulim.
“Seramai 11 anggota SAR diturunkan dari pesawat menggunakan teknik winching berikutan tiada lokasi pendaratan yang sesuai dan paling hampir dengan kedudukan mangsa.

“Pasukan SAR turut dibantu 14 anggota MGP yang bergerak melalui laluan pendakian, menjadikan keseluruhan anggota pasukan SAR yang berada berhampiran dengan mangsa seramai 25 orang,” ujarnya.
Sayani berkata, kesemua pasukan SAR dan enam mangsa dijangka berkumpul semula di Kem Kulim malam ini.
Bagaimanapun, katanya, keputusan sama ada pasukan SAR bersama kesemua mangsa akan meneruskan perjalanan turun malam ini atau bermalam di Kem Kulim bergantung kepada keadaan kesihatan mangsa serta situasi di lokasi.
“Anggaran perjalanan pasukan SAR bersama mangsa dari Kem Kulim untuk sampai ke Pos Kemar adalah antara tiga hingga empat jam,” jelasnya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman dilaporkan berkata, keenam-enam pendaki terbabit berada dalam keadaan selamat.
Semalam media melaporkan, enam individu termasuk dua kanak-kanak memulakan pendakian merentas tiga puncak gunung iaitu Gerah, Bilah dan Bieh (Trans GBB) pada 29 Ogos lalu.
Kesemua mereka termasuk dua malim gunung sepatutnya tiba di Pos Kemar pada Khamis lalu namun sehingga kini gagal dihubungi.
Enam individu terbabit ialah dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, serta empat sekeluarga iaitu Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, dan dua anak mereka, Diya Raisha, 13, serta Ahmad Raef, 9. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Enam pendaki hilang di Trans GBB, operasi SAR tertumpu di laluan Perak – Polis
Enam pendaki hilang di Trans GBB, operasi SAR guna aset darat, air, udara


