BALIK PULAU – Tindakan seorang lelaki warga emas yang bergurau kononnya bagasi rakannya mengandungi bom membawa padah apabila dia ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, dalam kejadian pada jam 10.30 malam itu masing-masing dijadualkan menaiki penerbangan ke China.
“Bagaimanapun lelaki berusia 64 tahun itu secara berseloroh mendakwa bagasi milik rakannya yang berusia 60 tahun mengandungi bom ketika pemeriksaan barang di kaunter daftar masuk LTAPP.
“Susulan itu, pihak berkuasa melakukan pemeriksaan lanjut sebelum mengesahkan tiada bahan berbahaya dijumpai dalam bagasi mereka.
“Kedua-duanya ditahan direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Dalam kes berasingan, Sazalee berkata, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan bantu membantu siasatan kes curi motosikal.
“Hasil soal siasat suspek membawa polis ke sebuah rumah di Halaman Mayang 3, Bukit Gedung di mana enjin motosikal serta komponen lain ditemui sebelum menunjukkan lokasi motosikal dalam keadaan tidak sempurna di Halaman Mayang 4.
“Dalam serbuan sama kita juga merampas sebuah enjin, ekzos, coverset, topi keledar serta sebuah motosikal.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette