IPOH – Penetapan harga, pemilihan lokasi strategik dan kekuatan jenama menjadi tiga pendekatan utama MK Land Holdings Berhad (MK Land) dalam mengurangkan risiko lambakan rumah tidak terjual di Perak.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MK Land, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi berkata, strategi syarikat itu dimulakan dengan menawarkan kediaman pada harga mampu milik sebelum bergerak kepada segmen harga lebih tinggi dan pasaran terbuka.
Menurut beliau, MK Land terlebih dahulu menawarkan rumah mampu milik pada harga sekitar RM90,000, diikuti RM140,000 dan RM200,000 sebelum memasuki segmen pasaran terbuka.
“Macam kami dalam situasi ini, kita ada strategi. Kita mulakan dengan yang paling mampu milik dahulu, RM90,000, kemudian RM140,000, RM200,000 dan selepas itu kepada pasaran terbuka.
“Pastinya, yang mana lebih murah, permintaan dan kemampuan itu lebih ramai yang boleh memilikinya, tertakluk kepada kelayakan,” katanya ketika mengulas mengenai kebimbangan terhadap isu rumah tidak terjual di Perak seperti dilaporkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
Terdahulu, Ahmad Soalahuddin hadir menyampaikan hadiah sempena MK Land Bonanza Draw di Mydin Meru Raya, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, MK Land jarang berhadapan situasi lebihan unit kediaman tidak terjual kerana mengambil kira beberapa faktor penting sebelum sesuatu projek dilancarkan.
Katanya, antara faktor berkenaan ialah reputasi syarikat dan keyakinan pembeli terhadap kualiti rumah yang dibangunkan.

“Kita jarang sangat ada apa yang kita panggil ‘completed unsold unit’ (unit siap tetapi tidak terjual) yang sangat banyak.
“Satu sebab ialah kita ada reputasi yang baik. Bila kita lancarkan sesuatu projek, kita akan siapkan dan keyakinan itu ada. Kualiti pula kita tidak kompromi,” katanya.
Menurut beliau, keyakinan pembeli terhadap kualiti pembangunan MK Land turut membantu mengurangkan risiko unit kediaman tidak terjual selepas projek dilancarkan.
Selain harga dan jenama, beliau berkata lokasi pembangunan juga menjadi faktor penting dalam memastikan permintaan terhadap kediaman yang ditawarkan kekal kukuh.
Katanya, beberapa projek MK Land di Perak dibangunkan di lokasi yang mempunyai potensi pertumbuhan ekonomi dan jaringan infrastruktur yang baik.
“Isu rumah tidak terjual perlu dilihat bukan hanya berdasarkan jumlah unit yang tersedia, sebaliknya kesesuaian produk perumahan dengan kemampuan serta keperluan penduduk setempat.
“Terdapat banyak rumah berharga RM300,000 ke bawah di Perak, namun lokasi dan jarak kediaman berkenaan dengan pusat pekerjaan turut mempengaruhi kemampuan pasaran untuk menyerap bekalan tersebut,” katanya.
Beliau menegaskan, strategi MK Land adalah memastikan harga rumah yang ditawarkan sepadan dengan kemampuan sasaran pembeli, selain memilih lokasi yang mempunyai potensi pertumbuhan ekonomi dan akses pekerjaan. -MG Perak


