Hari Keputeraan: Sultan Nazrin biaya makanan tengah hari 7,800 banduan

TAIPING – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan sumbangan sebanyak RM93,600 bagi membiayai makanan tengah hari kepada 7,800 banduan dan tahanan di negeri ini bersempena dengan Sambutan Hari Keputeraan Baginda, pada Jumaat.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, hidangan istimewa kurniaan baginda itu disediakan Jabatan Penjara Negeri kepada penghuni di empat lokasi masing-masing.

Katanya, lokasi berkenaan adalah di Penjara Tapah dan Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah serta Rumah Perantaraan Penjara Negeri Perak (Kinta dan Taiping).

Hari Keputeraan Sultan Nazrin biaya makanan tengah hari banduan tahanan penghuni penjara Koreksional Mohd Zahidi sultan perak
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin pada sidang media Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan Kepada Prospek Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak Darul Ridzuan di Kelab Golf Pusat Koreksional Kamunting, Taiping, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 01 NOVEMBER 2024.

“Kesemua penghuni di lokasi-lokasi berkenaan dihidangkan dengan menu yang sama iaitu nasi minyak, bersama ayam masak merah, dalca serta daging kambing masak kurma.

“Peruntukan ini pada awal dikoordinasi oleh pihak Jabatan Penjara Negeri, kemudian harga bagi menu yang dirancang itu dipersembahkan kepada baginda sebelum ia diperkenankan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan Kepada Prospek Sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Koreksional Kamunting, dekat sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penjara Negeri Perak, Charin Promwichit.

Pada majlis, seramai 1,231 penghuni Pusat Koreksional Kamunting diraikan dengan menikmati juadah istimewa itu bersempena dengan Hari Keputeraan Sultan Perak ke-68.

Selain itu Mohd Zahidi berkata, inisiatif yang diilhamkan sendiri baginda itu sebagai tanda keprihatinan Sultan Nazrin yang turut tidak melupakan golongan berkenaan.

Hari Keputeraan Sultan Nazrin biaya makanan tengah hari banduan tahanan penghuni penjara Koreksional Mohd Zahidi sultan perak
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin (kiri) hadir ke Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan Kepada Prospek Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak Darul Ridzuan di Kelab Golf Pusat Koreksional Kamunting, Taiping, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 01 NOVEMBER 2024.

“Acara seumpama ini yang dijalankan serentak di lokasi lain disempurnakan Orang Besar Jajahan Daerah masing-masing. Dan usaha ini juga merupakan kali kedua diperkenankan baginda untuk dilaksanakan,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau juga berharap agar semua penghuni di penjara, pusat koreksional, dan sebagainya untuk sentiasa berusaha memperbaiki dan mempertingkatkan diri demi menjadi insan terbaik pada masa akan datang.

Pada masa sama, Charin menzahirkan penghargaan kepada Sultan Nazrin atas perkenan baginda mengurniakan sumbangan makan tengah hari kepada semua banduan dan tahanan di seluruh Perak.

“Saya merakamkan ucapan menjunjung kasih atas keprihatinan baginda terhadap semua penghuni di sini. Dan mewakili Jabatan Penjara Negeri, kami amat berbesar hati menerima kurniaan baginda,” ujarnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Keputeraan Sultan Perak: Syed Danial, Wan Suraya antara 213 penerima darjah kebesaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI