IPOH – Pihak Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bersama agensi berkaitan masih berada di lokasi bagi memantau keadaan di Kilometer (KM) 263.6 lebuh raya arah selatan, susulan kejadian tanah runtuh petang tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 2km selepas Terowong Menora ketika kawasan berkenaan dilanda hujan lebat pada jam 4.30 petang.
“Tanah runtuh berkenaan melibatkan lorong kiri lebuh raya dan susulan kejadian, lorong tersebut ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan.
“Aliran trafik kemudiannya dialihkan ke lorong kanan bagi memastikan pergerakan kenderaan masih dapat diteruskan.

“Kerja-kerja pembersihan selesai dijalankan dan semua lorong dibuka semula kepada pengguna lebuh raya sekitar jam 7 malam.
“Pihak PLUS juga sedang mendapatkan penilaian daripada pakar berkaitan terhadap keadaan lereng bukit di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan laluan sebelum tindakan selanjutnya ditentukan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa, kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan susulan kejadian itu.
Dalam pada itu, Mohd Alwi turut menasihatkan semua pengguna PLUS khususnya yang melalui kawasan Terowong Menora dan laluan berbukit berhampiran, supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu.
Katanya, pengguna lebuh raya dinasihatkan mematuhi arahan serta papan tanda keselamatan dan mengurangkan kelajuan, terutama ketika cuaca buruk.

“Pengguna lebuh raya turut disarankan mendapatkan maklumat trafik terkini melalui saluran rasmi pihak berkuasa dan pengendali lebuh raya sebelum memulakan perjalanan,” jelasnya.
Terdahulu, Lembaga Lebuhraya Malaysia menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, kejadian itu menyebabkan lorong kiri terhalang, dengan kesesakan trafik dilaporkan sejauh 4km.
Pada jam 6.28 petang, pasukan daripada OPUS dan PLUS berada di lokasi bagi menjalankan penilaian, manakala kerja-kerja pembersihan sedang dilaksanakan menyebabkan kesesakan trafik sepanjang 15km. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KKR kenal pasti 1,577 cerun berisiko tinggi di seluruh negara


