IMS 2024 ketengahkan muzik Rap, budaya Hip Hop

IPOH – Muzik Rap dan budaya Hip Hop di Malaysia menjadi genre muzik yang diketengahkan dalam penganjuran edisi kali keenam Simposium Muzik Ipoh (IMS) tahun ini.

Bertemakan ‘Ritma Atas Puisi: Lagu Rap dan Budaya Hip Hop’, acara berkenaan akan mengambil tempat di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) selama tiga hari bermula 11 Oktober ini.

Pengurusan agensi kreatif Negeri Perak, People of Remarkable Talents (PORT) berkata, simposium itu diadakan untuk membincangkan kepentingan, pengaruh, dan impak gerakan seni muzik Rap serta budaya Hip Hop di negara ini.

Katanya, melalui pembentangan dan forum yang melibatkan ahli panel jemputan, IMS 2024 akan merungkai pelbagai perspektif dari sudut sosial, politik, sejarah, estetik, budaya, agama, dan ekonomi.

“Selain daripada membuka wacana seni, IMS 2024 juga dijangka dapat menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa, terutamanya peminat muzik, sekali gus menyumbang kepada kempen Tahun Melawat Perak 2024.

“Muzik Rap dan budaya Hip Hop telah bertapak selama 50 tahun di peringkat global. Di Malaysia, muzik Rap bukan sahaja menjadi genre muzik popular tetapi juga menjadi wadah luahan realiti sosial, politik, dan ekonomi masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Tambahnya, selain pembentangan, pelbagai acara yang akan berlangsung sepanjang tiga hari itu antaranya, demonstrasi grafiti, pertandingan rap, bengkel breakdance, sesi perkongsian bersama Cat Farish dan sebagainya.

Ujarnya lagi, antara pengisian lain adalah forum ‘Empat Dekad Hip Hop: Menjejak Perjalanan Ritma Atas Puisi’ yang menampilkan ahli panel, Altimet, Datuk Ahmad Izham Omar, Yogi B dan April Kuan.

“Di samping itu, turut akan diadakan Konsert IMS dengan penampilan artis-artis Hip Hop seperti Joe Flizzow, Sophia Liana, Gard Wuzgut, Lawalah Familia, Quai, Jeknorth, dan Ranjit Bois.

“Selain itu, Pekan Pop Up turut bekerjasama dengan PORT untuk menampilkan sekitar 100 reruai jualan yang menawarkan pelbagai produk, makanan, dan kedai pakaian terpakai,” katanya.

Penganjuran IMS 2024 diharap dapat merungkai peranan muzik Rap dan budaya Hip Hop yang memberi impak kepada gaya hidup dan budaya masyarakat serta seni kreatif di Malaysia.

Katanya, ia juga diharapkan menjadi sumber rujukan bagi golongan penyelidik budaya dan generasi pada masa hadapan.

“IMS menjadi salah satu program utama PORT yang memberi nilai tambah kepada Ipoh Bandar Kreatif Muzik Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” jelasnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

KAMU 2024 sasar 400,000 pengujung

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI