IPOH – Kesesakan luar biasa berlaku di sekitar bandar raya ini adalah disebabkan orang ramai memanfaatkan musim cuti sekolah serta cuti umum Hari Malaysia dan Maulidur Rasul esok untuk bercuti di sini.
Tinjauan MG Perak di sekitar Pekan Lama iaitu Lorong Panglima (Concubine Lane) dan Lorong Pasar (Market Lane) mendapati lokasi tumpuan pelancong itu dipenuhi pengunjung terdiri dari pelbagai peringkat usia dan kaum.
Rata-rata pengunjung dilihat tidak melepaskan peluang bergambar kenangan serta membawa keluarga bersiar-siar di sekitar lokasi berkenaan.
Tidak kurang juga pelancong asing yang turut sama berada di kawasan pelancongan itu.
Penjawat awam, Hisalmizan Mat Kimi, 41, dari berkata, dia mengambil kesempatan bercuti di bandar raya Ipoh sejak semalam sehingga cuti umum esok bersama rakan sekerja.
Menurutnya, Ipoh dilihat sebagai salah satu lokasi pelancongan yang harus dikunjungi kerana masih mengekalkan warisan seni bina terutamanya di sekitar Pekan Lama.
“Di Ipoh, dari segi seni bina, masih kekal dengan warisan sejarah. Kerajaan negeri dilihat amat memelihara dan memulihara seni bina di sini yang menjadi salah satu tarikan kepada pelancong.
“Selain itu, di sini juga terdapat banyak makanan yang menjadi signature dish, antaranya adalah nasi ganja dan Canning Dim Sum.
“Saya dan rakan-rakan belum cuba makan nasi ganja tetapi kami target hendak makan nasi kandar di Pekan Lama,“ katanya ketika ditemui di Pekan Lama, di sini pada Ahad.
Bagi Azlan Othman, 48, dia sememangnya berhasrat untuk merasai sendiri suasana bercuti di bandar raya Ipoh.
Dia bersama isteri dan empat anaknya yang datang dari Rawang ini juga tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan mereka sekeluarga di lokasi yang dilawati.
“Pagi ini kami sempat singgah ke Loken (Pasar Karat Ipoh) untuk melihat barang-barang antik di situ dan kemudian berjalan kaki ke Concubine Lane.
“Selepas ini, kami akan singgah sebentar di Kong Heng kerana hendak mengambil gambar ootd (pakaian untuk hari ini). Jika ada masa kami akan ke Taman Rekreasi Gunung Lang dan Gaharu Tea Valley memandangkan cuaca hari ini amat baik,“ ujarnya.
Jurutera Rangkaian ini juga mengalu-alukan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa untuk melihat sendiri keunikan di Perak yang kaya dengan sejarah selain memeriahkan sambutan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.
Sementara itu, Azlihan Mohamed Noor, 55, dari Bukit Beruntung, Selangor tetap meneruskan percutian bersama adik beradiknya walaupun terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas terutamanya pada musim cuti sekolah.
Bagaimanapun, dia mempunyai sedikit kesukaran untuk mendapatkan parkir dan berharap kemudahan tersebut boleh ditambah pada masa hadapan.
“Alhamdulillah kami sampai jua ke sini. Pertama apa yang kami cari di sini ialah makanan. Makanan di sini lazat dan memenuhi keperluan serta harganya sangat berbaloi bersesuaian dengan rasa dan portion (saiz).
“Semalam kami mendapat layanan yang sangat mesra oleh pekerja di Taman Rekreasi Gunung Lang dan pada sebelah malam, walaupun cuaca hujan, kami tetap ke Gerbang Malam untuk melihat suasana di situ.
“Justeru, saya mengajak orang ramai untuk datang bercuti di Perak dan tidak perlu ke luar negara kerana semua ada di sini. Perak best!“ kata pejawat awam itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Ipoh ‘sesak’ jadi pilihan pelancong luar cuti sekolah […]