‘Jangan tinggal parti walaupun berada di bawah’ – Saarani

IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak tidak pernah meminggirkan mana-mana ahli parti dalam gabungan itu walaupun parti yang mereka wakili memperoleh keputusan kurang memberangsangkan pada pilihan raya umum yang lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata walaupun MIC tidak mempunyai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN), namun atas semangat setiakawan beberapa ahli daripada parti itu telah dilantik dalam syarikat milik kerajaan (GLC) mahupun di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Walaupun tidak ramai, namun ada wakil  MIC yang dilantik di GLC serta badan berkanun kerajaan negeri serta 14 orang sebagai ahli majlis perbandaran dan majlis daerah. 

“Oleh itu, mereka yang telah dilantik itu harus menjalankan tanggungjawab dengan baik dan menunjukkan kepada masyarakat bahawa MIC sentiasa memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Malam Kebudayaan dan Perpaduan Madani Sempena Deepavali 2023 anjuran Badan Perhubungan MIC Perak, di sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan Majlis Malam Kebudayaan dan Perpaduan Madani Sempena Deepavali 2023 di Dewan PBSM, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 OKTOBER 2023

Dalam pada itu, Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata semua ahli parti dalam gabungan BN harus sentiasa menabur bakti kepada rakyat tanpa mengira waktu sama ada ketika ‘berada di atas’ atau  ‘di bawah’.

Ujarnya tiga parti di bawah gabungan BN iaitu UMNO, MIC dan MCA harus membuktikan kepada masyarakat bahawa parti yang mereka wakili bukan hanya bersifat ‘parti pilihan raya’ semata-mata.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika hadir pada Majlis Malam Kebudayaan dan Perpaduan Madani Sempena Deepavali 2023 di Dewan PBSM, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 OKTOBER 2023

“Selalu saya ingatkan bahawa dalam politik ini ibarat roda yang mana ada kala kita berada di bawah, dan ada kala kita berada di atas. Walaupun kita berada di bawah, jangan sesekali putus asa atau meninggalkan parti.

“Sebaliknya terus percaya bahawa suatu hari nanti kita akan kembali di atas. Sebab itu, paling penting adalah untuk kita sentiasa memberi khidmat terbaik kepada rakyat dengan membuktikan kita adalah parti yang ‘walk the talk’,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain Saarani berkata Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijadualkan berangkat ke sambutan Perayaan Deepavali peringkat negeri pada 26 November depan di suatu lokasi yang akan diumumkan kelak. -MG Perak

BACA SELANJUTNYA: Jawatan presiden, timbalan tidak dipertandingkan elak perpecahan – MIC Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI