Jualan Agro MADANI Perak catat nilai jualan RM3.76 juta bagi tempoh lima bulan pertama

GOPENG – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak telah melaksanakan 169 program Jualan Agro MADANI (JAM) dengan nilai jualan berjumlah RM3.76 juta bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pelaksanaan program tersebut membuktikan keberkesanan inisiatif ini dalam memperkasakan pemasaran hasil agromakanan, meningkatkan pendapatan usahawan serta membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan pada harga yang lebih mampu milik.

Menurutnya, menjelang penghujung tahun ini, FAMA Perak turut menyasarkan pelaksanaan sebanyak 421 program JAM di seluruh negeri bagi memperluaskan lagi manfaat program ini kepada lebih ramai pengguna dan usahawan.

“Kerajaan negeri percaya inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup rakyat, malah menjadi platform penting dalam memperkukuhkan rantaian  pemasaran hasil pertanian, meningkatkan pendapatan usahawan serta merancakkan pembangunan ekonomi luar bandar.

“Kerjasama erat dengan agensi berkaitan membuktikan komitmen semua pihak dalam memastikan rakyat terus menikmati akses kepada bekalan makanan berkualiti pada harga yang berpatutan, di samping memperkukuhkan pembangunan sektor agromakanan negeri,“ katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan sempena Program JAM Mega di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan & Operasi) FAMA, Faisal Iswardi Ismail dan Pengarah FAMA Perak, Azleena Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Mohd Zolkafly berkata, penganjuran JAM Mega @ RTC Perak kali ini menyasarkan 50,000 pengunjung dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM750,000 yang memberikan penjimatan kepada pengguna sebanyak RM225,000 sepanjang tiga hari program berlangsung.

“Program ini menghimpunkan 132 lot pameran dan jualan melibatkan 89 orang usahawan, dengan kira-kira 30 peratus daripadanya merupakan usahawan baharu.

“Penyertaan ini mencerminkan komitmen FAMA dalam membuka lebih banyak peluang pemasaran kepada usahawan tempatan serta memperluaskan akses pasaran bagi produk agromakanan negeri.

“Antara tarikan utama program ialah penawaran 5,000 unit Kombo MADANI pada harga promosi RM10 berbanding harga asal RM20, sekali gus memberikan penjimatan sehingga 50 peratus kepada pengguna.

“Selain itu, pengunjung turut berpeluang mendapatkan pelbagai hasil pertanian segar termasuk 20 metrik tan durian, lebih 15 metrik tan buah-buahan tempatan, serta 450 unit Set Dulang Durian yang ditawarkan pada harga RM30.

Tambahnya, program ini turut dimeriahkan dengan penyertaan 310 unit penyimpanan stok (SKU) produk Industri Makanan Asas Tani (IMAT), lebih 250 jenis menu di Empayar Makanan serta 140 jenis anak pokok dan produk florikultur.

“Pelbagai aktiviti sampingan turut disediakan seperti  Jualan RAHMAH, gunting rambut percuma, tukar minyak hitam percuma, persembahan kebudayaan dan hiburan, sekali gus menjadikan program ini sebagai destinasi sehenti yang sesuai dikunjungi oleh seisi keluarga,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

FAMA buka 20 pusat pengumpulan sementara buah-buahan bermusim di Perak atasi lambakan durian

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI