IPOH – Kerajaan Negeri Perak menerusi Yayasan Perak bersama rakan strategik Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN) meluncurkan Jurnal Bacaan Propulih dan Modul Key To Excellence Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2024 dalam usaha memperkasakan pendidikan di negeri ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, program penghasilan modul Jurnal Bacaan Propulih melalui Sektor Pembelajaran ini adalah salah satu inisiatif bagi membantu meningkatkan penguasaan kemahiran dengar tutur, membaca dan menulis murid sekolah menengah rendah di Perak.
Menurutnya, inisiatif ini turut membantu pelajar tingkatan satu hingga tiga yang telah defisit di dalam pembelajaran supaya tidak tercicir dan diabaikan selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM).
“Modul ini telah dibangunkan oleh pegawai Sektor Pembelajaran, pegawai SISC+ Bahasa dan Penolong Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pemulihan Khas serta guru Bahasa Melayu yang cemerlang.
“Selain itu, modul ini akan dilaksanakan oleh guru-guru Bahasa Melayu di dalam kelas yang dijangka memberi manfaat kepada 5,000 pelajar daripada kumpulan pemulihan menengah rendah yang melibatkan komitmen kewangan sebanyak RM55,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Jurnal Bacaan Propulih dan Modul Key To Excellence STPM 2024 di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson dan Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan.
Dalam pada itu, Khairudin berkata, sebelum jurnal tersebut dilaksanakan, pihak JPN melalui PPD telah menjalankan ujian saringan yang memfokuskan kepada pelajar tingkatan satu dan dua.
“Hasil dapatan saringan tersebut mendapati seramai 1,867 pelajar kurang menguasai kemahiran literasi dan numerasi.
“Lima daerah yang mempunyai bilangan pelajar tertinggi yang kurang menguasai kemahiran tersebut adalah daerah Kinta Utara, Kinta Selatan, Manjung, Hulu Perak serta Larut Matang dan Selama.
“Jadi kita sediakan bahan jurnal itu supaya mereka dapat dipulihkan dan boleh menguasai kemahiran tersebut.
“Usaha ini dapat membantu meningkatkan kemampuan pelajar peralihan dalam penguasaan kemahiran berbahasa serta mampu menyediakan diri mereka untuk sekurang-kurangnya layak mendapat sijil di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa hadapan,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, program meningkatkan kecemerlangan turut giat dijalankan dengan terhasilnya Modul Key To Excellence iaitu modul bagi 18 mata pelajaran STPM yang akan membantu meningkatkan kualiti pembelajaran pelajar.
“Pelajar tingkatan enam kurang bahan rujukan pelajaran. Jadi, modul yang menelan belanja RM16,000 ini dapat membantu menyediakan bahan yang lebih berstruktur dan bersistematik.
“Ia sekali gus memberi manfaat terutama kepada 3,803 murid STPM di negeri ini ke arah mencapai keputusan peperiksaan yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau berkata, segala usaha yang dilaksanakan ini diharap dapat membantu melonjakkan pencapaian kecemerlangan anak Perak sekaligus melahirkan masyarakat yang terdidik dan produktif di masa hadapan selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pelajar jadi content media sosial perlu berbentuk pendidikan