Jurujual didenda RM12,500, isteri mengaku tidak bersalah

MANJUNG – Seorang jurujual baju kurung atas talian didenda RM12,500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berasingan oleh Mahkamah Majistret Manjung, di sini pada Rabu.

Tertuduh Mohd Sopri Togil, 47, turut berdepan hukuman enam dan tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda masing-masing RM10,000 dan RM2,500 bagi setiap pertuduhan yang diperintahkan Majistret T. Kavita.

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Syazwani Zawawi, tertuduh didakwa gagal membekalkan sehelai baju raya bernilai RM158 kepada seorang wanita Februari lalu.

Selain itu, Mohd Sopri turut didakwa gagal mendedahkan maklumat berkaitan nombor pendaftaran perniagaan di pejabat KPDN Cawangan Manjung sekitar jam 1.10 petang pada 12 Mei lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Sopri didakwa melakukan pelanggaran mengikut Seksyen 16(c) Akta Pelindungan Pengguna 1999 dan kesalahan di bawah Seksyen 25(1)(b) Akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua kedua pula dilakukan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 145(1) Akta Pelindungan Pengguna 1999.

Sebelum itu, tertuduh diwakili peguam S. Dharmanathan merayu agar mahkamah mempertimbangkan jumlah denda yang paling minimum ke atasnya.

Alasannya, dia menanggung ibu dan bapa serta tiga lagi anak yang masih bersekolah selain turut insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Sementara itu, isteri tertuduh, Massuwati Amran, 45, dalam pendakwaan sama mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal membekalkan sehelai baju raya bernilai RM158 kepada seorang wanita Februari lalu.

Majistret kemudiannya menetapkan sebutan semula kes terhadap Massuwati pada 7 Disember 2023.

Terdahulu media melaporkan sepasang suami isteri yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Isnin atas pertuduhan gagal membekalkan sehelai baju raya bernilai RM158 kepada seorang wanita Februari lalu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama menyetujui terima bayaran RM158 tanpa mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai bahawa dapat membekalkan sehelai baju kurung kepada Nur Sabrina Aiman Mohd Rosszi pada 31 Mac lalu.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Lumut, Sitiawan sekitar jam 4.44 petang pada 13 Februari lalu. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI