GEORGE TOWN – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti pelbagai keperluan golongan belia dan pembangunan sukan untuk dimasukkan dalam rangka Belanjawan 2027.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, input berkenaan diperoleh menerusi Jelajah Belanjawan Belia Madani yang sedang dilaksanakan di enam zon di seluruh negara.
Katanya, jelajah berkenaan turut melibatkan pertubuhan belia, persatuan sukan serta golongan belia yang tidak berpersatuan bagi memastikan pandangan pelbagai pihak diambil kira dalam penyediaan belanjawan kementerian.
“Setakat hari ini, kita belum lagi selesai ke semua enam zon, tetapi kita telahpun mendapatkan pelbagai input daripada pertubuhan belia, daripada persatuan sukan.
“Kemudian kita juga mendapat input daripada mereka yang tidak berpersatuan pun kita mengajak sama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Flag Off Oregeon Tower Run Series @ The Top Penang di sini, hari ini.
Menurutnya, antara keutamaan KBS adalah menyediakan ruang dan peluang kepada masyarakat untuk bersukan, khususnya di peringkat akar umbi bagi melahirkan atlet pelapis.
Katanya, perkara itu termasuk penyediaan dana, geran, program sukan komuniti dan geran padanan sukan sebagai antara platform untuk menggalakkan penyertaan dalam aktiviti sukan.
Dalam masa sama, beliau berkata, kebajikan atlet termasuk mereka yang sudah bersara atau pernah memberikan sumbangan kepada negara turut menjadi antara perkara yang diberi perhatian.
“Kita ingin menjaga kebajikan-kebajikan atlet kita, baik yang telah bersara ataupun mereka yang sudahpun memberikan yang terbaik untuk negara kita melalui Yayasan Kebajikan Atlet yang ada di bawah Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.
Taufiq berkata, KBS turut mengambil kira keperluan belia luar bandar dan mereka yang tidak berpersatuan atau tidak pernah menyertai mana-mana program kementerian sebelum ini.
Katanya, rangka awal cadangan kementerian sudah dibawa untuk perbincangan awal bersama Kementerian Kewangan (MOF), manakala perbincangan lanjut akan diadakan dari semasa ke semasa.
“Setakat sekarang ini, kita telah mengadakan perbincangan awal bersama dengan MK2. Telahpun kita angkat untuk perbincangan awal dan sudah pasti dari masa ke masa kita akan sentiasa mengadakan perbincangan dan juga kita akan present ataupun membentangkan hasrat kita untuk Belia dan juga Sukan pada tahun 2027,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan Jelajah Belanjawan Belia Madani dijangka dapat diselesaikan bulan ini, sebelum hasil sesi libat urus itu dibentangkan bersama rangka belanjawan yang ingin dilaksanakan KBS bagi tahun depan.
“KBS juga merancang melaksanakan program jelajah ke seluruh Malaysia tahun depan bagi bertemu seramai mungkin anak muda di kawasan bandar dan luar bandar.
“Program itu akan merangkumi aktiviti bersifat massa dan aktiviti berskala kecil bagi memastikan lebih ramai anak muda dapat disantuni,” katanya. – MalaysiaGazette


