KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan krisis yang sedang berlaku di Negeri Sembilan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, Anwar sewajarnta menghentikan perjalanan ke luar negara buat sementara waktu bagi memberi tumpuan kepada isu berkenaan.
“Situasi di Negeri Sembilan memerlukan tindakan segera daripada Perdana Menteri. Beliau perlu berhenti melakukan perjalanan ke luar negara.
“Pentadbiran negeri mesti diteruskan. Pembayaran perlu dibuat dan kontrak baharu perlu ditandatangani,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Menurut Zaid, keadaan menjadi lebih rumit apabila tiada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan timbul ketidakjelasan mengenai pihak yang mempunyai kedudukan sah sebagai pemerintah negeri.
“Apabila tiada Exco dan tidak jelas siapa pemerintah yang sah, Perdana Menteri dan Raja-Raja Melayu perlu duduk bersama untuk mencari penyelesaian secara baik,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar pihak-pihak berkaitan merujuk persoalan undang-undang yang timbul kepada Mahkamah Persekutuan bagi memutuskan semua persoalan yang menjadi pertikaian.
“Adakah pemecatan Tuanku Mukhriz sah? Adakah pemecatan Exco sah? Siapakah Undang yang dipilih secara sah?” katanya.
Zaid berkata, penyelesaian hanya boleh dicapai sekiranya semua pihak bersetuju membuat rujukan bersama berhubung persoalan berkenaan dan menerima keputusan mahkamah.
“Jika gagal, terdapat keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Negeri Sembilan. Perlembagaan perlu digantung. Rakyat tidak seharusnya terus menderita,” katanya.
Malam tadi, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali malam ini, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Beliau berkata, menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Ahli-ahli berkenaan telah masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lepas, sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette


