PASIR SALAK – Keputusan penelitian semula sasaran 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di negara ini menjelang 2025 akan diketahui selepas Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ini kerana Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) dijadualkan berlangsung selepas cuti perayaan berkenaan.
“Selepas Aidilfitri ini Insya-Allah kita akan bincangkan dan secara rasmi ada 2020 stesen pengecas EV tapi perbincangan saya yang bukan rasmi ada lebih kurang 2,100 stesen sudah dibina,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas hadir Majlis Ihya’ Ramadan dan Iftar Perdana di pekarangan Masjid Jamek Al-Ansar di Bandar Baru FELCRA Seberang Perak, di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Pengerusi Halal Development Corporation, Khairul Azwan Harun dan Pengerusi Felcra Education Services Sdn Bhd, Ramelle Ashram Ramli.
Tengku Zafrul berkata, bagaimanapun hasil pertemuan awal di antara beliau dengan pemain industri serta syarikat pemasangan stesen pengecas EV menyuarakan keyakinan sasaran 10,000 stesen berkenaan menjelang 2025 dapat dipenuhi.
“Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, sasarannya 10,000 sehingga akhir tahun 2025, oleh itu kita kena membuat perancangan yang rapi kerana kalau tidak boleh capai sasaran itu kita perlu buat sasaran yang lebih realistik.
“Tetapi nampaknya perbincangan saya dengan pihak-pihak pemasangan caj ini, mereka masih yakin kerana melihat permintaan tyang tinggi dan berani sedikit untuk buat stesen pengecas EV,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan meneliti semula sasaran 10,000 stesen pengecas EV menjelang 2025.
Beliau berkata, sehingga kini terdapat hampir 1,500 stesen pengecas EV yang beroperasi namun jumlah tersebut jauh daripada sasaran awal itu yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.
Menurutnya, setakat ini kerajaan masih mengekalkan sasaran awal tersebut namun beliau bersama- sama rakan Kabinet akan melihat semula sama ada sasaran itu boleh dicapai ataupun tidak.
“Nampaknya target (sasaran) itu agak agresif kerana ada banyak isu yang perlu kita tangani dan ia melibatkan banyak proses dan agensi seperti proses kelulusan dan agensi seperti Suruhanjaya Tenaga, pihak berkuasa tempatan serta pihak-pihak lain,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Gentari sasar pemasangan 400 poin pengecasan EV
KKR sedia kerjasama dengan pemain industri, teroka ekosistem EV