Keracunan makanan: Kantin SK Chepor ditutup 14 hari

IPOH – Kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor diarahkan tutup selama 14 hari berikutan 101 murid terkesan akibat keracunan makanan dipercayai berpunca daripada minuman berperisa coklat dan ayam goreng kelmarin.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, arahan penutupan berkuat kuasa bermula semalam sehingga 8 Oktober depan dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta di bawah Seksyen (11) Akta Makanan 1983.

Menurutnya, satu kompaun juga telah dikeluarkan atas kesalahan pemakaian aksesori sewaktu mengendalikan makanan.

“Murid-murid telah mengadu bahawa minuman berperisa coklat yang telah dijual di kantin pada 24 September lalu, berbau masam semasa diminum.

“Mereka turut mengadu ayam goreng yang dijual, tidak dimasak dengan sempurna dan sebahagian daging ayam tersebut masih mentah.

“Agen yang disyaki menyebabkan keracunan ini adalah Salmonella spp, berdasarkan gejala dan tempoh inkubasi kes.

“Susulan itu, PKD Kinta telah membuat pemeriksaan kantin tersebut semalam dan mendapati penilaian premis makanan berasaskan risiko adalah tidak memuaskan dengan tahap rating 67.9 peratus.

“Sehubungan itu, kantin sekolah berkenaan diarah tutup selama 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, seorang murid telah dimasukkan ke wad kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan dan berada dalam keadaan stabil.

“Seramai 62 pelajar lagi telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di klinik kesihatan dan swasta yang berhampiran dengan kawasan rumah masing-masing.

“Manakala, baki muri lain didapati hanya mengalami simptom-simptom yang ringan dan telah berehat di rumah masing-masing serta mereka semua berada dalam keadaan stabil.

“Sebanyak 10 sampel klinikal stool culture and sensitivity (C&S) diambil dalam kalangan murid yang bergejala dan dihantar untuk dianalisa di Makmal Kesihatan Awam Ipoh (MKAI).

“Sebanyak satu sampel makanan proxy, air, sampel swab pisau, papan pemotong dan permukaan meja serta tiga sampel swab pengendali juga telah diambil. Kesemua sampel tersebut telah dihantar ke MKAI semalam untuk tujuan analisa,” ujarnya.

Semalam MG Perak melaporkan, seramai 86 murid sekolah terbabit mengalami simptom keracunan makanan selepas muntah dan cirit-birit pada Selasa.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, berdasarkan laporan diterima dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara, kejadian difahamkan berlaku bermula jam 10.50 pagi pada Selasa melibatkan murid sesi pagi dan petang.

Bagaimanapun, hasil siasatan pengesanan kes aktif dikenal pasti menjelang jam 5 petang semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 101 membabitkan 50 murid perempuan dan 51 murid lelaki. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

86 murid SK Chepor keracunan makanan selepas cirit birit, muntah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI