IPOH – Kerajaan Negeri Perak memberi ruang kepada skim komuniti berpengawal di kawasan perumahan sedia ada untuk melalui proses pemutihan dan penyelarasan, sebelum tindakan penguatkuasaan diambil terhadap struktur yang tidak mendapat kelulusan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pendekatan itu diambil memandangkan terdapat kawasan perumahan yang telah lama mengendalikan skim keselamatan tanpa kelulusan lengkap, selain terdapat skim yang masih dalam proses mendapatkan kelulusan atau belum memenuhi sepenuhnya syarat ditetapkan.
“Bagi kawasan perumahan sedia ada, kerajaan negeri sedar bahawa terdapat skim yang telah lama beroperasi tanpa kelulusan lengkap, ada yang tidak memenuhi syarat dan ada juga yang masih dalam proses mendapatkan kelulusan.
“Sebab itu pendekatan kerajaan negeri bukan semata-mata melalui penguatkuasaan. Keutamaan kita ialah memberi ruang kepada proses pemutihan dan penyelarasan, supaya skim yang masih boleh dipatuhi dapat dibantu untuk menjadi sah dan teratur,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.
Sandrea berkata, antara langkah yang dilaksanakan adalah mempermudahkan proses permohonan menerusi penyediaan senarai semak dan templat borang yang lebih standard.
“Ini membolehkan persatuan penduduk menyediakan permohonan dengan lebih mudah tanpa perlu melantik perunding perancangan yang mahal, sekaligus mengurangkan kos kepada penduduk,“ ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut diarahkan menyelaras semakan bersama agensi berkaitan bagi memastikan isu melibatkan status tanah, lesen keselamatan dan keperluan teknikal dapat ditangani secara lebih tersusun.
“Kerajaan negeri juga telah menetapkan supaya PBT menyelaras semakan dengan agensi berkaitan, termasuk Pejabat Tanah, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Kementerian Dalam Negeri (KDN), polis serta jabatan teknikal yang berkenaan, supaya isu berkaitan status tanah, lesen keselamatan dan keperluan teknikal dapat diselesaikan dengan lebih tersusun.
“Pada masa yang sama, sesi libat urus dan bimbingan teknikal dilaksanakan bersama persatuan penduduk bagi membantu mereka memahami perkara yang perlu diperbetulkan, termasuk lokasi pondok pengawal, palang keselamatan, rizab jalan, aliran trafik dan aspek keselamatan,“ jelasnya.
Katanya, PBT perlu memainkan peranan secara proaktif dalam membantu proses pemutihan dengan menjelaskan dokumen yang masih diperlukan serta pembetulan teknikal yang perlu dilakukan.
Beliau juga turut mengingatkan persatuan penduduk supaya menyemak semula status skim keselamatan yang dilaksanakan di kawasan masing-masing bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pembinaan pondok pengawal perumahan bukan strata perlu kelulusan MBI


