Kerajaan peruntuk RM21 juta bagi pelaksanaan IPL

SUNGKAI – Kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi, memperuntukkan sejumlah RM21 juta bagi tujuan pelaksanaan Projek Rintis: Model Baharu Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, program IPL telah dirangka sebaiknya bagi memberi lebih banyak manfaat kepada pekebun kecil selaras dengan teras kebersamaan di bawah konsep Malaysia Madani.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, kementeriannya bersama LGM komited dalam memastikan pekebun-pekebun kecil getah mengecapi nikmat kemakmuran negara melalui program tersebut.

Jelas beliau, pihaknya turut memberi sokongan penuh kepada LGM atas inisiatif melaksanakan projek rintis selama satu tahun di beberapa buah negeri seperti Perak, Kedah dan Sabah dengan anggaran peserta seramai 1,500 pekebun kecil melalui penyertaan oleh tiga buah kilang pemprosesan.

“Melalui model baharu IPL ini, model perniagaan bekalan lateks yang lebih berkesan telah dibangunkan dengan memendekkan rantaian pemasaran melalui jualan lateks daripada pekebun kecil secara terus kepada kilang pemproses.

“Ini sekali gus meningkatkan harga jualan lateks dan pendapatan pekebun kecil getah di mana melalui projek rintis IPL, setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai projek ini, akan menerima empat manfaat insentif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Projek Rintis: Model Baharu IPL dan Projek Rintis: Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) di Dewan Sigma Institut Latihan Statistik Malaysia, di Sungkai, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua peserta yang mengikuti projek rintis IPL bakal menerima kadar insentif bulanan berjumlah RM2.00 sekilogram (100 peratus kandungan getah kering) selain kadar bayaran insentif penyertaan berjumlah RM200 setiap bulan dengan tempoh terhad selama setahun bagi pekebun kecil yang beralih kepada pengeluaran lateks.

“Selain itu, peserta juga akan menerima kadar bayaran insentif galakan berjumlah RM100 setiap bulan dengan tempoh terhad selama setahun bagi galakan pekebun kecil yang sedang mengeluarkan lateks.

“Insentif terakhir pula merupakan insentif produktiviti berdasarkan produktiviti tahunan yang mencapai sasaran produktiviti antara 1,000 ke 1,499 kilogram bagi setiap hektar setahun (Kluster 1) dan 1,500 kilogram ke atas setiap hektar setahun (Kluster 2),” katanya.

Menurut Fadillah, bagi kilang pemproses lateks yang terpilih pula bakal memperoleh manfaat seperti kebenaran khas diberikan dengan tempoh terhad selama satu tahun untuk membeli lateks secara bergerak dan secara terus daripada kluster pekebun kecil dalam negeri yang sama.

Ujar beliau, selain itu, tiga kilang pemprosesan daripada LGM yang terlibat juga bakal menerima pinjaman tiga unit RRIMeter serta pinjaman tiga unit kenderaan reka bentuk khas bagi mengangkut lateks.

“Untuk makluman, RRIMeter merupakan teknologi LGM yang dapat membantu pekebun kecil dan kilang pemproses dalam penentuan kandungan getah kering (KGK) dengan pantas dan tepat, yang seterusnya akan menentukan harga bagi aktiviti urus jual beli getah di peringkat lapangan,” katanya. – MG Perak.

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI