SUNGKAI – Pendapatan pekebun kecil getah mampu meningkat lebih 40 peratus apabila mereka beralih kepada penghasilan susu getah (lateks) berbanding getah sekerap, demikian menurut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pelancaran ‘Projek Rintis: Model Baharu Insentif Pengeluaran Lateks (IPL)’, dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM), dan kementeriannya itu bakal mengubah kehidupan pekebun kecil getah dalam negara.
Menurut beliau, projek rintis IPL bukan sahaja membantu pekebun kecil getah menjana pendapatan lebih malah membantu meningkatkan pengeluaran getah lateks negara sekali gus mengurangkan kebergantungan import komoditi berkenaan.
“Insentif kita laksanakan kali ini berbeza dengan cara lama di mana, kita memberi lesen terus kepada pengilang untuk membeli lateks terus daripada pekebun kecil, jadi dengan itu ia akan menambah pendapatan pekebun kecil kita.
“Kalau kita ikut simulasi yang dijalankan, pekebun kecil getah ini mampu menjana lebih 40 peratus tambahan pendapatan berbanding cara yang lama di mana harga lantai getah sekerap RM3 sekilogram manakala lateks pula lebih RM5 sekilogram,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pengumpulan Lateks, di Dewan Kampung Orang Asli Kampung Menderang, di sini, pada Isnin.
Fadillah berkata, Malaysia mengimport lateks daripada negara luar dengan anggaran nilai import berjumlah RM3 bilion pada tahun lalu.
“Selain berharap ia bakal menambahkan pendapatan pekebun kecil getah, saya juga berharap agar kebergantungan untuk mengimport lateks daripada luar negara akan dapat dikurangkan.
“Jika ini berlaku kita akan dapat menjimatkan aliran keluar mata wang tempatan ke luar negara,” katanya. – MG Perak.
Artikel Berkaitan: