SABAK BERNAM – Kerajaan tetap bersiapsiaga dengan ramalan gelombang kedua oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) bermula hari ini sehingga 14 Disember.
Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan mendadak kepada 3,000 orang di pusat pemindahan sementara (PPS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gelombang kedua itu akan membabitkan negeri seperti Johor dan Pahang.
“Saya bersyukur kerana jumlah mangsa banjir telah menurun dengan mendadak dan kini berada di PPS kira-kira 3,000 orang.
“Kkita mengharapkan ramalan yang dibuat METMalaysia di mana gelombang kedua bermula hari ini hingga 14 hari bulan dijauhkan Allah SWT.
“Namun kita tetap terus berada dalam keadaan siap sedia kerana kekhuatiran kita apabila gelombang kedua ini akan melanda negeri-negeri seperti Pahang dan Johor.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan juga jawatankuasa bencana negeri dan daerah agar jangan ambil mudah serta bersiap sedia hadapi apa jua cabaran yang akan mendatang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Penyerahan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Sungai Besar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan telah bersedia dan mengatur gerak sebanyak 32 jambatan Bailey untuk ditempatkan di jambatan atau jalan yang runtuh atau rosak teruk hingga terputus hubungan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, setakat ini tujuh lokasi telah kenalpasti dan lima daripada jambatan Bailey itu berada dalam stok Nadma
“Manakala Kor Kejuruteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) memegang stok selebihnya.
“Kerjasama JKR dan Kor Kejuruteraan ATM sentiasa bsrsiap siaga dan sedang melaksana pembinaan dengan melakukan ujian tanah tertentu kerana tanah agak lembut di kawasan banjir.
“Kerja kejuruteraan sedang dilakukan kebanyakan lokasi di kelantan di mana kos keseluruhan bergantung kepada siapnya kerja-kerja pembinaan jambatan itu.
“Tetapi saya telah meminta kerja siap dalam tempoh 72 jam permulaan pembinaan berdasarkan situasi dan tujuh jambatan itu sudah dimulakan di Rantau Panjang dan Pasir mas dan kita sedang pantau keadaan di Pahang,” katanya. – MalaysiaGazette
[…] Kerajaan siap siaga gelombang kedua banjir – TPM […]