JOHOR BAHRU – Dua individu maut selepas kereta Honda Jazz yang dinaiki, dipercayai dirempuh sebuah kereta Mercedes yang dipandu secara melawan arus di Kilometer 6.4, Jalan Ismail Sultan, Iskandar Puteri, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata dalam kejadian 4.20 pagi itu, mangsa yang maut merupakan pemandu dan penumpang Honda Jazz, iaitu seorang wanita dan seorang lelaki, kedua-duanya berusia 19 tahun.
Sementara itu, pemandu Mercedes iaitu lelaki berusia 30 tahun cedera parah dan sampel darahnya telah diambil, bagi tujuan analisa kandungan dadah dan alkohol.
“Bagaimanapun, pihak polis belum dapat pastikan sama ada pemandu terbabit di bawah pengaruh dadah atau alkohol, kerana masih menunggu keputusan sampel,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu Mercedes terbabit dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata pihaknya membantu mengeluarkan kesemua mangsa terlibat daripada kereta masing-masing dan operasi ditamatkan pada jam 6.27 pagi.
— BERNAMA