Kesan El Nino terhadap Malaysia dijangka lebih ekstrem – Nik Nazmi

KUALA LUMPUR – Kesan fenomena El Nino tahun ini dijangka lebih ekstrem berbanding episod-episod terdahulu dengan peningkatan suhu dan pengurangan jumlah taburan hujan di seluruh negara.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kejadian El Nino sedang melanda dunia dan dijangka meningkat intensitinya bermula penghujung tahun ini sehingga awal tahun hadapan.

Menurut beliau, lazimnya El Nino yang berintensiti kuat akan memberi impak yang lebih signifikan terhadap corak cuaca negara terutamanya ketika fasa akhir Monsun Timur Laut dan musim selepasnya, seperti yang berlaku pada 1997 hingga 1998 dan 2015 hingga 2016.

“Bagi menghadapi fenomena El Nino ini, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah bersiap siaga lebih awal iaitu saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Bil.1 Tahun 2023 pada 26 Mei lalu dan Bil. 2 pada 12 September 2023.

“Mesyuarat ini diadakan bertujuan melaporkan status terkini keadaan cuaca, tinjauan cuaca, status kualiti udara, merancang tindakan dan strategi bagi mencegah pembakaran terbuka serta jerebu setempat di samping mengatur persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya jerebu merentas sempadan.

“Selain itu, beberapa langkah proaktif turut diadakan antaranya pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) dan memperkasakan pemantauan komuniti melalui Program Pasukan Pemantau Pencemaran (3P),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Iklim Kebangsaan 2023 bertema ‘Waspada El Nino Hadapi Monsun Timur Laut’ yang diadakan secara dalam talian hari ini.

Forum tersebut dikendalikan Timbalan Ketua Pengarah (Strategik & Teknikal) Jabatan Meteorologi (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip selaku moderator dan disertai tiga ahli panel iaitu Pengarah Kanan Pusat Instrumentasi Meteorologi dan Sains Atmosfera MetMalaysia, Ambun Dindang; Pengarah Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Dr Norlida Mohd Dom serta Pengarah Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Nazaruddin Sharaai.

Dalam perkembangan berkaitan, Nik Nazmi berkata, MET Malaysia telah membangunkan sistem ramalan awal iaitu Sistem Penarafan Bahaya Kebakaran (FDRS) bagi memantau kemungkinan berlaku kebakaran hutan dan tanah gambut di negara ini.

Beliau menambah, ia baru ditambah baik dengan keupayaan untuk menyediakan maklumat ramalan sehingga tujuh hari ke hadapan berserta capaian kepada Perkhidmatan Peta Sesawan (WMS) yang membolehkan sistem tersebut bersifat interaktif dan mesra pengguna.

“Jadi, besarlah harapan saya, agar agensi yang terlibat dalam pengurusan kebakaran hutan dan tanah gambut dapat memanfaatkan sistem FDRS ini sebaik mungkin agar sebarang bencana yang berkaitan dapat dikenal pasti dan dikawal lebih awal daripada menjadi lebih teruk,” katanya.

Nik Nazmi juga yakin bahawa MET Malaysia sentiasa komited dan peka dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana cuaca ekstrem dan banjir serta cuaca panas.

Menurut beliau, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), melalui Projek Menaik Taraf Stesen Pencerapan Cuaca Permukaan sebanyak 100 stesen pencerapan cuaca konvensional akan dinaik taraf kepada stesen meteorologi auksiliari automatik yang berteknologi tinggi.

“Melalui projek seperti ini, kita dapat mengoptimumkan keupayaan sistem rangkaian cuaca sedia ada serta meningkatkan perkhidmatan pemantauan cuaca berterusan, ramalan cuaca semasa dan penyampaian amaran cuaca buruk kepada masyarakat,” jelasnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI