Klinik kesihatan Hutan Melintang bernilai RM40 juta bakal dibangunkan pada 2025

IPOH – Projek klinik kesihatan baharu Hutan Melintang bernilai RM40 juta dijangka akan mula dibangun selepas Februari 2025 bagi menggantikan bangunan sedia ada yang sudah berusia hampir 60 tahun.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Intergrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, projek itu akan dilaksanakan di kawasan seluas 2.83 hektar bagi mengatasi isu bangunan yang semakin sempit dan sesak di klinik sedia ada.

Menurutnya, klinik baharu mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan dengan purata kehadiran penduduk antara 500 sehingga 600 orang pesakit sehari.

“Berikutan itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menyediakan pelan induk jangka panjang dan membuat persediaan bagi membina klinik baharu di kawasan tersebut dan projek tersebut telah diluluskan bagi kerja-kerja awalan dalam Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan selesai sepenuhnya pada 22 Oktober 2021.

“Bagi pembinaan fasa kedua bangunan Klinik Kesihatan Hutan Melintang telah diluluskan dalam RP4 RMK-12 dengan nilai projek sebanyak RM40 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan S Wasanthee (PH-Hutan Melintang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebagai pelan tindakan projek, pelantikan Ketua Pasukan Projek (HOPT) dan Ketua Pasukan Rekabentuk (HODT) Jabatan Kerja Raya (JKR) telah selesai sepenuhnya pada 19 Januari dan 2 April lalu.

“HOPT lazimnya bertindak sebagai pengurus projek yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengetuai pengurusan projek manakala HODT pula sebagai pakar teknikal yang bertanggung jawab sebagai pakar teknikal yang mengetuai aspek teknikal supaya skop projek, masa dan kos ditetapkan seperti yang dirancang.

“Mesyuarat permulaan bagi menerangkan secara ringkas projek, kaedah pelaksanaan dan jadual pelaksanaan juga telah selesai pada 18 April lalu disusuli pihak HOPT dan HODT JKR bersama JKN dan Pejabat Kesihatan Daerah Bagan Datuk melaksanakan lawatan tapak pada 7 Mei,” jelasnya.

Sivanesan turut memaklumkan, JKR sedang menyediakan lukisan kerja ukur dan kerja dijangka selesai pada 14 Ogos depan.

“Perkara tersebut penting bagi menyediakan lukisan reka bentuk konsep yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan November depan dan tawaran tender akan dibuka pada awal Februari 2025,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Perak Rasmi Klinik Kesihatan Kuala Kangsar

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI