SEBELUM dunia menyaksikan ledakan teknologi seperti telefon pintar dan internet, manusia bergantung kepada sistem telekomunikasi ringkas untuk berkongsi maklumat yang mampu merentasi jarak beribu-ribu kilometer.
Sebelum telefon dicipta, pelukis dari Amerika Syarikat, Samuel F. B. Morse bersama rakannya, Alfred Vail, berjaya mencipta sistem telegraf dan kaedah pengekodan untuk menyampaikan maklumat yang kemudiannya dikenali sebagai ‘Kod Morse’ pada 1840-an.
Kod Morse yang menggabungkan titik, sempang dan jurang antara aksara kemudiannya menjadi antara asas penting dalam perkembangan dunia komunikasi pada hari ini.

Keupayaannya untuk menghantar mesej melalui denyutan elektrik, bunyi atau cahaya menjadikannya berguna dalam pelbagai keadaan, termasuk komunikasi telegraf, ketenteraan dan radio.
Di Malaysia pula, sejarah Kod Morse berkait rapat dengan perkembangan awal sistem telegraf apabila laluan telegraf pertama yang menghubungkan Kuala Kangsar dengan Taiping dibina pada 1874.
Lebih 100 tahun selepas Kod Morse mula bertapak di negara ini, kaedah komunikasi berkenaan kembali bernada menerusi Cabaran Kod Morse Peringkat Negeri Perak yang diadakan di Kompleks Telekom Malaysia (TM) Taiping, baru-baru ini.
Pertandingan anjuran bersama Yayasan TM dan Muzium Telegraf Taiping itu menghimpunkan 120 pelajar daripada 30 sekolah menengah di seluruh negeri.

Ketua Pegawai Korporat Kumpulan TM, Nor Fadhilah Mohd Ali berkata, penganjuran cabaran itu bertujuan mendekatkan generasi muda dengan warisan teknologi yang menjadi sebahagian daripada titik permulaan perkembangan telekomunikasi di negara ini.
Katanya, ia bukan sekadar menguji keupayaan peserta menghafal simbol, sebaliknya menggabungkan sejarah telekomunikasi dengan kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara lebih praktikal.
“Teknologi terkini Malaysia pada hari ini sama ada berkaitan dengan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan atau keselamatan siber, semuanya ada titik permulaan.
“Dan titik permulaan itu yang harus kita selami bersama kerana setiap inovasi yang tercetus bermula daripada satu kecerdasan idea,” katanya.

Menurut beliau, usaha memperkenalkan Kod Morse tidak bermakna generasi muda perlu meninggalkan teknologi moden, sebaliknya warisan komunikasi itu boleh digabungkan dengan ilmu baharu seperti robotik, pengekodan dan AI.
“Cabaran Kod Morse merupakan salah satu usaha untuk menghidupkan sejarah tersebut. Kita tidak mahu anak-anak sekadar melihat mesin telegraf sebagai bahan pameran.
“Kita mahu mereka menggunakannya. Dan mungkin suatu hari bertanya kepada diri sendiri, ‘apakah teknologi yang boleh saya cipta sendiri selepas ini?’.
“Inilah yang menjadikan program hari ini begitu bermakna. Ia menghubungkan warisan dengan pendidikan dan seterusnya inovasi,” ujarnya.

Menurut Nor Fadhilah, Taiping dipilih sebagai lokasi pertandingan sulung kerana daerah itu amat dekat dengan sejarah perkembangan Kod Morse di Malaysia.
Justeru, jelas beliau, pihaknya merancang untuk memperluaskan lagi inisiatif berkenaan ke negeri lain sebelum dibawa ke peringkat kebangsaan pada 2027.
“Kami percaya bahawa teknologi dan pendidikan perlu bergerak seiring. Teknologi yang hebat memerlukan manusia yang hebat di belakangnya, dan semuanya bermula dengan pendidikan,” katanya lagi.
Cabaran Kod Morse berlangsung dalam tiga peringkat, bermula dengan pusingan awal yang menyaksikan peserta daripada 30 sekolah menguji keupayaan masing-masing menyahkod mesej audio dan menghantar mesej menggunakan kekunci Morse.
Sebanyak 12 pasukan dengan markah tertinggi kemudiannya mara ke pusingan separuh akhir sebelum lima pasukan terbaik berentap di pentas akhir.

Sepanjang pertandingan, peserta dinilai berdasarkan ketepatan dan kepantasan menghantar serta menerima mesej, selain tahap tumpuan, keupayaan mendengar, mentafsir maklumat dan kerjasama dalam pasukan.
Pada pusingan akhir, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Taiping dinobatkan sebagai johan, manakala SMK Seri Iskandar muncul naib johan dan SMJK Hua Lian menduduki tempat ketiga.
Para pemenang membawa pulang hadiah wang tunai, sijil dan hamper dengan majlis disempurnakan Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi.
Dua minggu kuasai ilmu Kod Morse
Bagi peserta, pertandingan itu membuka pengalaman baharu apabila kemahiran komunikasi yang selama ini hanya diketahui menerusi buku dan filem kini perlu dipraktikkan dalam suasana pertandingan.
Wakil SMK Convent Taiping, Zahra Zulkhair, 15, tidak menyangka latihan selama kira-kira dua minggu membuahkan kejayaan apabila pasukannya muncul juara, selain dia turut menerima Anugerah Penerima Kod Morse Terbaik kategori Individu.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, minatnya terhadap Kod Morse tercetus selepas mengetahui kaedah komunikasi berkenaan daripada guru sains, M Kumareswari, selain tertarik dengan penggunaannya dalam komunikasi ketenteraan.
“Kami sangat terkejut dan gembira selepas dinobatkan sebagai juara. Ini merupakan pertandingan Kod Morse pertama yang kami sertai dan tidak sangka ia dibuat secara kompetitif,” katanya.
Zahra berkata, persediaan menghadapi pertandingan dilakukan selepas waktu persekolahan menerusi latihan sekitar sejam sehari, termasuk menggunakan aplikasi telefon pintar dan kit Kod Morse.

Menurutnya, cabaran terbesar adalah dari segi pendengaran kerana peserta perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada bunyi isyarat sebelum mentafsirkannya kepada huruf atau nombor dalam tempoh singkat.
“Mengetahui simbol dengan mahir adalah kuncinya kerana selepas mendengar sesuatu simbol, kita perlu tahu terus apa perkataan atau nombor tersebut,” katanya.
Adegan dalam filem cetus minat
Pengalaman hampir sama dilalui wakil SMK Seri Iskandar, Qalesh Iman Mahizan Hijaz, 15, yang pada awalnya tertarik dengan Kod Morse selepas melihat penggunaannya dalam salah satu adegan filem tempatan ‘Sheriff: Narko Integriti’.
Menurutnya, kaedah komunikasi berasaskan simbol itu menarik kerana membolehkan mesej disampaikan dengan cara yang berbeza daripada teknologi komunikasi masa kini.

“Kami tertarik dengan cara Kod Morse digunakan untuk berinteraksi dengan orang lain. Kami juga banyak melihatnya dalam filem-filem bertemakan kepolisan dan ketenteraan,” ujarnya.
Dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi digital, Kod Morse mungkin tidak lagi menjadi pilihan utama dalam komunikasi harian, namun nilai yang diterapkan melaluinya seperti kecekapan mentafsir maklumat dan ketepatan menyampaikan mesej kekal relevan.

Usaha ini juga selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, khususnya dalam memberi penekanan terhadap pembangunan pendidikan di samping pemeliharaan seni, budaya dan warisan.
Pada masa sama, inisiatif seperti ini dilihat mampu menyokong usaha menjadikan Perak sebagai Koridor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara, yang merupakan antara sembilan agenda di bawah pelan berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan akan terus tumpu perkasa ekosistem sains, teknologi dan inovasi


