KPDN Perak rampas lebih 2,000 unit cecair penyelenggaraan kenderaan tiruan

IPOH – Lebih daripada 2,000 unit cecair penyelenggaraan kenderaan berjenama terkemuka tiruan dirampas Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam operasi di dua premis perniagaan di daerah Kinta, pada Rabu.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan membanteras penjualan dan pengedaran barang tiruan itu dilakukan secara berasingan masing-masing di Bandar Seri Botani, dekat sini, dan Batu Gajah.

Katanya, operasi berkenaan dilakukan hasil aduan wakil pemilik cap dagang yang memaklumkan terdapat penjualan cecair penyelenggaraan kenderaan disyaki tiruan di premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menemui sebanyak 748 unit minyak pelincir enjin, 1,304 unit minyak pelincir gear dan 22 unit cecair penyejuk enjin.

“Kesemuanya disyaki menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut.

“Wakil syarikat cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan disyaki premis telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Menurut beliau, kesemua barangan dan dokumen di dua premis berkenaan dengan nilai RM37,035.20 itu telah disita untuk siasatan lanjut.

Kamalludin berkata, kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagang berdaftar bagi syarikat jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, bagi kesalahan berulang, hukuman denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagang berdaftar.

“Bagi bukan syarikat, hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” ujarnya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

KPDN Perak serbu premis jadi stor simpan barang subsidi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI