IPOH – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan kesemua 56 residensi Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) menubuhkan pasukan Bomba Komuniti PR1MA di seluruh negara.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, penubuhan Bomba Komuniti itu adalah salah satu usaha dalam meningkatkan pencegahan kebakaran di residensi berkenaan di samping mempersiapkan penduduk melalui latihan asas kebombaan untuk berdepan situasi kecemasan.
Menurutnya, selain itu ia turut membantu dari segi mengurangkan risiko kebakaran tetapi membantu menjimatkan kos.
“Penubuhan Bomba Komuniti PR1MA ini adalah hasil kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Tahun ini negara mengalami kerugian sebanyak RM1.3 billion akibat kebakaran, jadi pencegahan kebakaran sangat penting dan semua residensi PR1MA perlu mewujudkan Bomba Komuniti, supaya dapat memastikan aspek keselamatan di kediaman mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bomba Komuniti PR1MA Meru di Residensi Meru di Bandar Meru Raya, pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee; Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.
Kor Ming berkata, KPKT berharap usaha ini dapat dipertingkatkan bagi memastikan semua residensi PR1MA ini berada dalam keadaan selamat, selesa dan sejahtera.
Terdahulu, Nga melepaskan Larian Perpaduan Aspirasi #PRIMAKITA di Residensi Meru yang turut diadakan serentak di Seremban, Negeri Sembilan dan Johor Bahru, Johor dan disertai lebih 7,000 orang di ketiga-tiga lokasi tersebut.– MG Perak
ARTIKEL BERKAITAN:
Operator tapak perkhemahan ada dua tahun untuk pemutihan
[…] KPKT sasar tubuh Bomba Komuniti residensi PR1MA seluruh negara […]