Operator tapak perkhemahan ada dua tahun untuk pemutihan

IPOH – Operator tapak perkhemahan diberi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk menjalankan proses pemutihan bagi memberi peluang kepada mereka memastikan kawasan riadah berkenaan selamat untuk pengunjung.

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, berikutan itu Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) menyediakan Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan sebagai panduan kepada operator tapak perkhemahan di negara ini.

Menurutnya, garis panduan itu disediakan susulan kejadian tanah runtuh yang melibatkan sebuah tapak perkhemahan sehingga mengorbankan 31 nyawa di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember tahun lalu.

“Di bawah KPKT melalui PLANMalaysia telah berjaya menyediakan garis panduan yang menerapkan prinsip perancangan 6K terhadap semua aktiviti perkhemahan meliputi keselamatan, keselesaan, kemampanan, kesinambungan sosial, kemakmuran ekonomi dan kepatuhan perundangan.

“Kita buat garis panduan ini bukan untuk menghukum sesiapa, ia dibuat untuk membantu pengusaha tapak perkhemahan kerana kita juga menerima maklum balas daripada mereka yang tidak mengetahui bagaimana untuk mengikuti garis panduan.

“Melalui prinsip perancangan tersebut, semua pelancong atau pengunjung yang pergi ke tapak perkhemahan itu berlesen akan berasa keselamatannya lebih terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Pelancaran GPP Tapak Perkhemahan di Taman D R Seenivasagam, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Kor Ming menjelaskan enam prinsip garis panduan itu perlu dipatuhi supaya pengunjung yang pergi ke tempat perkhemahan akan berasa terjamin dari segi keselamatan dan keselesaan seperti tempat perkhemahan dengan kawasan air terjun perlu dijarakkan sekurang-kurangnya 10 meter.

“PLANMalaysia mengambil masa empat bulan untuk menyiapkan GPP melalui beberapa siri libat urus dan sesi perkongsian input kepakaran melibatkan pelbagai agensi.

“Antara agensi yang terlibat adalah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Kerja Raya termasuk pihak berkuasa tempatan dan 150 pengusaha tapak perkhemahan dari seluruh negara,” jelasnya.

Ujar beliau, beberapa perkara mengenai GPP  perlu diperkemaskan oleh KPKT antaranya  keperluan penilaian sebelum pembangunan dan pengoperasian tapak perkhemahan dijalankan serta keperluan penilaian impak alam sekitar (EIA),” ujarnya.

Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali dekat sini pada 16 Dis lepas merupakan kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.

Tragedi pada kira-kira pukul 2.30 pagi 16 Disember 2022, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C di kawasan perkhemahan tersebut. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

Rombakan Kabinet adalah budi bicara – Nga Kor Ming

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI