Rombakan Kabinet adalah budi bicara PM – Nga Kor Ming

IPOH – Tiada perbincangan diadakan berhubung rombakan Kabinet dalam mesyuarat Jemaah Menteri setakat ini, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, rombakan Kabinet adalah di bawah kuasa dan budi bicara penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Oleh kerana itu, beliau (Anwar) adalah satu-satu insan dalam dunia ini yang boleh menjawab soalan ini.

“Setakat ini, belum ada perbincangan tapi ia adalah budi bicara Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan upacara pelepasan Larian Perpaduan Aspirasi #PR1MAKITA dan Majlis Pelancaran Bomba Komuniti PR1MA Meru di Residensi Meru di Bandar Meru Raya, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee; Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Anwar memaklumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan dijangka dilakukan pada bulan ini.

Artikel berkaitan: https://malaysiagazette.com/2023/12/01/rombakan-kabinet-mungkin-sebelum-hujung-tahun-ini-pm/

Anwar menjawab soalan itu kepada media yang menantikan beliau selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Putra Al-Amin Fasa 4, Putrajaya, semalam.

Desas desus berhubung rombakan Kabinet timbul semula selepas Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa tiba-tiba dikatakan bakal dikeluarkan daripada portfolio tersebut.

Selain itu, jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang masih kosong susulan kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Turut terpalit dengan ura-ura itu adalah pelantikan jawatan Menteri Kewangan kedua dalam Kabinet.

Spekulasi menyebut rombakan Kabinet akan berlaku pada minggu depan selepas Pilihan Raya Kecil Kemaman yang berlangsung pada hari ini. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI