IPOH – Keadaan fizikal Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli-Gerik mempunyai banyak selekoh merentasi kawasan bukit, ditambah faktor cuaca dan persekitaran, menyebabkan insiden kemalangan yang tinggi berlaku di laluan berkenaan.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, sepanjang tahun 2025 sahaja, laluan ini mencatatkan 413 insiden kemalangan; mengakibatkan 26 nyawa terkorban, di samping 27 orang mangsa mengalami cedera parah.
“Kemalangan paling tragik berlaku pada pagi Isnin 9 Jun 2025, melibatkan 42 orang mahasiswa mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dalam perjalanan pulang ke kampus selepas berhari raya Aidiladha bersama keluarga.

“15 jiwa terkorban melalui kemalangan yang sangat ngeri lagi memilukan hati. Selain itu, 20 insiden kemalangan yang direkodkan turut melibatkan haiwan,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Justeru itu, baginda bertitah, statistik yang direkodkan itu memperlihatkan risiko tinggi laluan JRTB yang memerlukan usaha bersepadu segera dilaksanakan.

“Amatlah dihargai komitmen Kerajaan Persekutuan meluluskan RM350 juta untuk projek menaik taraf JRTB, di samping seratus juta ringgit sambungan projek pembaikan struktur turapan,” titah baginda.
JRTB Jeli-Gerik sepanjang 292 kilometer dibuka kepada orang ramai pada 1 Januari 1982 dan kini menjadi laluan strategik serta nadi penghubung utama Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
115 kilometer lebuh raya tersebut berada dalam negeri Perak. -MG Perak


