LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan dua vesel nelayan tempatan (VNT) di dua lokasi berasingan kerana melakukan pelbagai kesalahan di sekitar perairan Pulau Pangkor, dekat sini Jumaat lalu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, tangkapan itu dilakukan hasil rondaan oleh Kapal Maritim (KM) NUSA yang giat menjalankan pengawasan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, dalam tangkapan pertama, sebuah VNT kelas C2 ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti perikanan kurang 15 batu nautika dari daratan selain gagal menghidupkan alat pengesan vesel.
“Seramai 25 kru membabitkan 23 kru warga Kemboja, seorang tekong dan seorang kru warga tempatan berusia antara 22 hingga 56 tahun ditahan dalam operasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, sebuah VNT kelas C bersama 16 kru melibatkan 14 orang warga Kemboja dan Thailand serta seorang kru dan tekong warga tempatan berusia antara 22 hingga 69 tahun telah ditahan.
“Kesemua kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti perikanan kurang 15 batu nautika dari daratan dan tidak menghidupkan dan memasang alat pengesan vesel.
“Selain itu, mereka juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah,” ujarnya.
Beliau berkata, kru warga asing terbabit ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan bot, hasil tangkapan serta peralatan perikanan turut dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tekong rempuh bot Maritim empat kali, cubaan seludup 41 PATI gagal


