LUMUT – Tindakan agresif sebuah vesel nelayan asing Indonesia yang bertindak merempuh bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebanyak empat kali bagi mengelakkan ditahan akhirnya gagal apabila vesel itu berjaya dipintas dalam operasi di perairan Teluk Senangin berhampiran Batu Malang, di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian itu, Maritim Malaysia turut menahan 41 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia yang dipercayai cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat awam yang diterima menerusi talian kecemasan 999 pada jam 12.40 pagi sebelum bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi bagi memintas vesel berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati vesel itu membawa 41 PATI warga Indonesia, terdiri daripada 29 lelaki dan 12 wanita berusia antara 21 hingga 57 tahun.
“Semasa operasi dijalankan, tekong vesel bertindak agresif dengan cuba melarikan diri serta melakukan beberapa manuver berbahaya bagi mengelakkan daripada ditahan.
“Vesel tersebut turut merempuh bot ronda Maritim Malaysia sebanyak empat kali sehingga mengancam keselamatan anggota yang sedang melaksanakan tugas penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan keselamatan anggota serta menghalang vesel itu daripada meloloskan diri, sebuah kapal ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak sebagai aset sokongan.
“Hasil tindakan pantas, profesional dan terkawal oleh anggota Maritim Malaysia, vesel berkenaan berjaya dipintas, disekat dan ditahan sepenuhnya pada jam 3.35 pagi. Tiada kecederaan dilaporkan membabitkan anggota Maritim Malaysia sepanjang operasi.
“Vesel bersama kesemua tahanan kemudiannya diiring ke Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Perak untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran,” ujarnya.
Mohamad Shukri menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menceroboh perairan negara atau tindakan agresif yang mengancam keselamatan anggota penguat kuasa.
“Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan, risikan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau insiden kecemasan di laut supaya menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Perak di talian 05-683 8737 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


