MBI lanjut bayaran cukai taksiran, ambil kira situasi ekonomi semasa

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melanjutkan tempoh akhir bayaran Cukai Taksiran bagi Penggal Kedua Tahun 2026 sehingga 30 September ini.

MBI dalam kenyataannya memaklumkan, pelanjutan berkenaan dibuat bagi memberi ruang dan tempoh yang bersesuaian kepada pemilik pegangan serta pembayar cukai untuk menjelaskan bayaran masing-masing.

Menurut MBI, keputusan itu turut mengambil kira keadaan semasa termasuk pelaksanaan nilai kadar baharu pada Julai 2025, selain situasi ekonomi semasa yang memberi kesan kepada sebahagian warga kota.

“Sehubungan itu, pembayar cukai yang masih mempunyai bayaran tertunggak bagi Penggal Kedua Tahun 2026 disarankan mengambil peluang sepanjang tempoh lanjutan untuk membuat pembayaran sebelum atau pada 30 September ini,” katanya pada hari ini.

MBI turut memaklumkan, caj Notis E akan mula dikenakan berkuat kuasa 1 Oktober depan terhadap akaun yang masih belum menjelaskan bayaran selepas tamat tempoh berkenaan.

“Justeru, semua pemilik pegangan diminta menyemak status cukai taksiran masing-masing dan memastikan bayaran dibuat dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan pengenaan caj Notis E serta tindakan susulan,” jelasnya.

Dalam pada itu, MBI menegaskan kerjasama dan keprihatinan warga kota dalam menjelaskan cukai taksiran amat dihargai kerana hasil kutipan berkenaan penting dalam menyokong penyediaan serta penyelenggaraan perkhidmatan dan kemudahan perbandaran demi kesejahteraan seluruh warga Ipoh. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MBI bersihkan kawasan gelandangan di lokasi tular, hotspot

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI