MBI bersihkan kawasan gelandangan di lokasi tular, hotspot

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil tindakan segera dengan melaksanakan Operasi Pembersihan dan Pencucian Kawasan Gelandangan yang Kotor di lokasi tular dan hotspot di sekitar bandar raya ini.

Operasi itu dilaksanakan susulan laporan media berhubung seorang warga emas yang didakwa tinggal lebih seminggu di sebuah hentian bas berhampiran Klinik Kesihatan Greentown di Jalan Raja Musa Aziz, di sini serta keadaan kebersihan di kawasan berkenaan.

Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah berkata, berikutan itu, MBI telah membuat pemantauan dan penyelarasan tindakan di lokasi.

“Operasi berkenaan diadakan hari ini bermula jam 9 pagi sehingga selesai, melibatkan kawasan hentian bas di Jalan Raja Musa Aziz dan Jalan CM Yusuf di sepanjang kaki lima bersebelahan 7-Eleven.

“Bagi melaksanakan operasi itu, MBI menyediakan lori terbuka, petugas pembersihan serta kemudahan penyembur air bertekanan tinggi bagi tujuan pengumpulan dan pembuangan sisa, pembersihan kawasan termasuk pencucian permukaan yang terjejas.

“MBI turut mengambil maklum bahawa warga emas berkenaan telah diberikan perhatian oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kinta dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dibawa untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Justeru, tindakan MBI memberi tumpuan kepada aspek kebersihan, keselesaan dan keselamatan ruang awam di kawasan berkenaan,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak JKM, PDRM, agensi berkaitan serta orang awam yang prihatin dan menyalurkan maklumat sehingga tindakan sewajarnya dapat diambil.

“MBI akan terus menjalankan pemantauan di lokasi tumpuan dan hotspot bagi memastikan kebersihan serta keselesaan kemudahan awam sentiasa terpelihara.

“Kerjasama masyarakat untuk melaporkan sebarang keadaan yang memerlukan tindakan pihak berkuasa amat dihargai demi kesejahteraan bersama,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Warga emas tinggal lebih seminggu di hentian bas diselamatkan JKM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI