MBI pertimbang ubah fungsi 3R di Ipoh

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), mempertimbangkan untuk mengubah fungsi dan kegunaan tempat Rehat dan Rawat Rider (3R) di bandar raya ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, terdapat tujuh lokasi 3R di Ipoh yang kini tidak lagi dilihat berfungsi seperti mana sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurutnya, sebelum ini 3R diwujudkan sebagai lokasi rider (penghantar makanan) untuk berteduh dan menunaikan solat.

“Bagaimanapun selepas PKP ramai yang memilih untuk membeli makanan sendiri dan tidak lagi menggunakan perkhidmatan rider, jadi permintaan menyusut dan rider pun kurang.

“Kita lihat rider lebih cenderung untuk memilih lokasi lebih selesa bagi memudahkan mereka untuk bergerak berbanding di kawasan 3R,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu 3R di Ipoh yang dilihat semakin terbiar dan tidak dimanfaatkan oleh penghantar makanan seperti ia baru dibina pada 2021.

Sehubungan itu, Rumaizi berkata untuk mengatasi masalah itu, MBI akan berbincang dengan operator yang dilantik di setiap 3R bagi memikirkan cara untuk memanfaatkan kegunaan di situ secara maksimum.

“Kita mahu ubah guna ia jadi gerai baharu. Setakat ini, kawasan 3R di Meru Raya sudah ditambah menjadi gerai makan.

“Semuanya bergantung kepada operator, apa pun tujuan kita adalah untuk pastikan 3R ini dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak terbiar begitu sahaja,” jelasnya.

Kemudahan 3R memberi manfaat kepada hampir 2,000 penghantar makanan di bandar raya Ipoh itu lengkap dengan ruang rehat, solat, tandas dan wifi percuma di kawasan tersebut.

Tujuh lokasi tempat 3R yang dibina di sekitar Ipoh ialah Pusat Bandar, Meru Raya, Jelapang, Medan Gopeng, Klebang, Station 18 dan Taman lpoh. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI