Mural sejarah, budaya, tokoh terkenal Ipoh bakal dihasilkan

IPOH – Satu projek lukisan mural yang mengetengahkan sejarah, budaya, personaliti terkenal dan tokoh terkemuka dari Ipoh bakal dihasilkan menjelang akhir tahun ini.

Projek ini secara tidak langsung akan menjadi satu lagi lokasi tumpuan pelancong baharu yang ingin menyimpan memori Indah sewaktu melawat bandar raya Ipoh.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan bekerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan A2Z dan Branding Association of Malaysia untuk bagi menjayakan projek lukisan mural berkenaan.

Menurutnya, lukisan mural itu akan menonjolkan identiti sekali gus menjadi lokasi tumpuan pelancong sama ada dari dalam ataupun luar negara.

“Kita akan fokus Pekan Baru dan Pekan Lama berdekatan dengan Lorong Seni untuk menjadi lokasi lukisan mural tersebut.

“Mural lama (sedia ada) kebanyakan dilukis di bangunan persendirian. Bagaimanapun, lukisan mural ini adalah yang baharu dan akan di selenggara MBI,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas merasmikan Program The Heart of Perak sempena Tahun Melawat Perak 2024 di Green Green Restoran, Meru di sini, pada Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengasas Pertubuhan Kebajikan A2Z, Jeff Lai berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan MBI berhubung pelaksanaan lukisan mural tersebut.

Katanya, mereka akan cuba mengumpulkan pelukis terkenal dari Perak terutamanya yang bernaung di bawah Persatuan Pelukis Perak untuk menjayakan projek tersebut.

Sementara itu, menyentuh mengenai program The Heart of Perak, Rumaizi berkata ia diadakan selaras dengan pengiktirafan Ipoh sebagai bandar kreatif dan juga cadangan ke arah bandar raya seni dan budaya.

“Seperti yang kita faham, kalau bandar raya Ipoh hendak jadi bandar pelancongan, kita perlu ada banyak produk dan tidak boleh tertumpu kepada satu produk semata-mata.

“Produk kita perlu bukan sahaja gastronomi makanan dan muzik tetapi seni juga adalah salah satu yang kita tekankan,” jelasnya.

Baru-baru ini, Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengiktiraf Ipoh bagi kategori muzik. – MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

MGPerak: Mural Sejarah, Budaya, Tokoh Terkenal Ipoh Akan Dihasilkan

MGPerak: Mural Sejarah, Budaya, Tokoh Terkenal Ipoh Akan Dihasilkan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI