KUALA LUMPUR – Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 11 November 2023 dan sehingga Mac 2024.
Sepanjang tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku.
Semasa fasa awal MTL dari November 2023 hingga Januari 2024, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.
Namun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia.
Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) berkata, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.
Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.
Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.
Manakala, pada fasa akhir MTL iaitu Februari hingga Mac 2024 dijangkakan utara Semenanjung (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu), Sabah, Labuan dan utara Sarawak mengalami kurang hujan.
Keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka bermula Mac 2024 berpotensi menyebabkan berlakunya gelombang haba.
Situasi ini berikutan El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan 2024 dan Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula dijangka sehingga suku pertama tahun 2024.
Sehubungan itu, Met Malaysia menasihatkan orang ramai agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkannya melalui medium sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia.
Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut. – MalaysiaGazette