Nahas helikopter TLDM: 10 van jenazah tiba di HRPB

IPOH – 10 van jenazah termasuk dua ambulans yang membawa kesemua mangsa nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pagi tadi tiba di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, pada Selasa.

Kesemua kenderaan yang dibawa dari Pangkalan TLDM Lumut tiba kira-kira jam 6 petang dengan diiringi kenderaan polis dan tentera.

Terdahulu, dipercayai waris kesemua mangsa nahas terbabit sudah mula berada di perkarangan Jabatan Forensik HRPB seawal jam 4 petang.

Difahamkan 10 jenazah itu akan menjalani proses bedah siasat, walau bagaimanapun tiada maklumat lanjut berkenaan perkara itu diterima pemberita setakat ini.

Dalam nahas sekitar jam 9.30 pagi tadi, dua helikopter milik TLDM dipercayai bergesel sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut ketika sedang menjalani latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90.

Insiden yang melibatkan helikopter jenis HOM (M503-3) dan Fennec (M502-6) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu membabitkan mangsa tujuh lelaki serta tiga wanita.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Basri berkata, 10 mangsa yang terlibat dalam insiden itu masing-masing dari Pangkalan TLDM Lumut dan Kota Kinabalu.

Tujuh kru yang menaiki Pesawat HOM dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Muhammad Faisol Tamadun, Noorfarahimi Mohd Saedy, Noor Rahiza Anuar dan Joanna Felicia anak Rohna.

Sementara tiga lagi kru menaiki Pesawat Fennec dikenali sebagai Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan T Sivasutan dan Mohd Shahrizan Mohd Termizi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Nahas helikopter terhempas: 7 kru lelaki, 3 wanita dikenal pasti – KP Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI