Na’im minta peruntukan tambahan bagi kebajikan guru KAFA

BALIK PULAU- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memohon kepada Kementerian Kewangan (MOF) agar mempertimbangkan peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar tanpa mendedahkan nilai peruntukan tambahan itu berkata, ia adalah antara lain bagi menjaga kebajikan guru Program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara.

“Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan memang sangat prihatin dengan pengorbanan yang telah diberikan oleh guru-guru KAFA ini. Pada masa yang sama, kementerian dan agensi lain juga mengemukakan cadangan bajet masing-masing.

“Jadi, kita serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk mengumumkan pada 18 Okt ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan kali kesembilan 2024 di Maahad Al Mashoor Al Islami di sini hari ini.

Mohd Na’im juga berkata kerajaan sentiasa komited dalam menjaga kebajikan guru-guru KAFA dan menghargai jasa dan peranan besar mereka.

Tahun lepas, Anwar mengumumkan sebanyak RM1.9 bilion diperuntukkan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam dalam Belanjawan 2024 termasuk sumbangan khas yang ditambah menjadi RM700 kepada lebih 70,000 guru takmir, guru KAFA, imam, bilal, siak, noja dan marbut di peringkat komuniti.

Ia melibatkan peruntukan lebih RM50 juta bagi menghargai jasa dan peranan besar golongan berkenaan di seluruh negara.

Pada majlis itu, Perak dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan kali kesembilan 2024 dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) yang berlangsung sejak Jumaat lepas.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Mufti Pulau Pinang Prof Madya Dr. Mohd Sukki Othman. -BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI