BAGAN DATUK – Seorang nelayan yang dilaporkan hilang di Sungai Perak dekat Kampung Pasang Api, Hutang Melintang, awal pagi tadi ditemui lemas pada petang Selasa.
Mangsa, Amir Hamzah Shaari, 53, ditemui kira-kira 400 meter (m) dari lokasi bot karam pada jam 5.20 petang ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata kira-kira jam 9.20 pagi tadi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan menggunakan bot bersama Unit Anjing Pengesan (K9) bermula dari kawasan Kampung Pasang Api, Hutan Melintang menghala ke Beting Beras Basah.
“Kemudian, pencarian mangsa diteruskan sehingga tiga kilometer (km) ke arah muara laut dan lima km ke arah Teluk Intan kira-kira jam 5 petang tadi.
“Mangsa dijumpai pada jam 5.20 petang dengan jarak lebih kurang 400m dari lokasi bot karam dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Rabu.
Menurutnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membantu dalam operasi SAR tersebut.
Terdahulu, MalaysiaGazette Perak melaporkan seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas bot dinaikinya bersama dua yang lain karam awal pagi tadi.
Bagaimanapun, dua mangsa lain dipercayai adik dan anak mangsa yang juga nelayan berjaya diselamatkan oleh orang awam. – MG Perak
ARTIKEL BERKAITAN
Lelaki dikhuatiri hilang bot karam di Sungai Perak