IPOH – Seorang lelaki yang merupakan orang kena tahan (OKT) berjaya ditahan semula selepas empat jam melarikan diri dari tahanan polis dalam kejadian di Bagan Datuk, pada Ahad.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek terbabit bertindak melarikan diri daripada perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk dalam keadaan bergari dan memakai pakaian lokap.
Menurutnya, susulan kejadian itu polis melancarkan Op Tutup dan Op Kesan bagi mengesan suspek berusia 27 tahun yang dipercayai terlibat aktif dalam kes samun sekitar Perak.
“Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, OKT bertindak menolak anggota polis yang mengiringnya ke lokap dan telah melarikan diri dengan memanjat pagar ke arah jalan besar sebelum menghilangkan diri ke kawasan perumahan berdekatan.
“Bagaimanapun, polis berjaya menahan semula OKT yang meloloskan diri dalam satu operasi kesan yang diaktifkan di sebuah taman perumahan di Hutan Melintang dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 223 / 224 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun dan dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis kesan individu baling molotov cocktail lima kali