Pasar Besar Ipoh jadi tumpuan persiapan akhir Aidilfitri

IPOH – Pasar Besar Ipoh yang terletak di tengah pusat bandar raya di sini menjadi lokasi tumpuan pengunjung membeli barang mentah untuk menyiapkan juadah bagi meraikan 1 Syawal.

Tinjauan Malaysia Gazette Perak (MG Perak) mendapati kebanyakan pengunjung membuat persiapan akhir dengan mengunjungi pasar itu kerana mudah untuk mendapatkan bahan utama seperti ayam, daging lembu, ikan, santan serta sayur.

Rata-rata pengunjung datang seawal jam 5 pagi bagi mendapatkan bahan keperluan yang segar dijual di pasar berusia lebih 50 tahun itu.

Pengunjung, Abdul Halim Abbas, 58, dari Tambun berkata, dia sudah berulang-alik ke pasar tersebut sejak semalam untuk melengkapkan pembelian barangan basah dan kering untuk dimasak pada Hari Raya Aidilfitri ini.

“Semalam saya sudah ke sini dan hari ini saya beli ayam dan buah-buahan. Raya kali ini, saya berbelanja ala kadar sahaja mengikut kemampuan. Tapi, ramai juga saya lihat orang membeli belah di pasar hari ini.

Pasar Besar Ipoh jadi tumpuan persiapan akhir Aidilfitri
Pengunjung, Abdul Halim Abbas, 58, di Pasar Besar Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 MAC 2025.

“Saya lihat ramai orang membeli belah di bahagian sayur namun mereka kurang singgah di pasar ayam.

“Mungkin kerana ayam banyak dijual dan mudah didapati di luar. Ramai juga pelanggan yang memilih untuk membeli di Jualan Rahmah menyebabkan kekurangan pelanggan di sini,” ujarnya yang bercadang menyediakan menu lemang, ketupat dan daging dendeng pada Hari Raya pertama.

Pasar Besar Ipoh jadi tumpuan persiapan akhir Aidilfitri
Pengunjung, Johoriah Ali Ismail, 70, di Pasar Besar Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 MAC 2025.

Sementara itu, Johoriah Ali Ismail, 70, dari Panorama Lapangan Perdana di sini, memang memilih Pasar Besar Ipoh sebagai tempat untuk membeli barangan masak kerana segala bahan yang diperlukan ada di sini.

Dia yang datang bersama adik perempuan dan adik iparnya berkata, harga barang ada yang mahal namun disebabkan perayaan Aidilfitri yang disambut setahun sekali, perkara itu bukan satu masalah besar.

“Hari ini kami masak rendang kerang dan esok saya akan masak mi kari. Harga barang mahal juga, kerang RM70 sekilogram, tetapi sekali sekala adik saya datang untuk beraya jadi saya tidak kisah untuk berbelanja,“ katanya yang berasal dari Tambun. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pasar awam ‘meriah’, orang ramai buat persediaan sambut Ramadan esok

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI