Pavilion Perak membuahkan hasil setiap kali MAHA dianjurkan

KEJAYAAN Perak mengekalkan kejuaraan enam kali berturut-turut sebagai pavilion terbaik sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) sejak 2012 bukan sekadar membanggakan malah boleh dianggap sebagai pencapaian luar biasa.

Ini kerana setiap kali penganjuran MAHA, pertandingan melibatkan pavilion negeri sentiasa ditambah baik dengan pelbagai perubahan yang dibawa bagi memastikan persaingan sihat serta sengit.

Berlangsung pada 11 hingga 24 September MAHA 2024 yang menyambut ulang tahun penganjurannya yang ke-100 tahun membawa beberapa perubahan melalui sembilan kategori yang dipertandingkan pada kali ini termasuk Pavilion@Laman IDOL MAHA 2024.

Meskipun pertandingan kali ini bukan hanya melibatkan pavilion setiap negeri tetapi juga dari semua laman di MAHA 2024, Perak masih unggul mengekalkan kejuaraannya sepanjang 12 tahun ini.

Bertemakan ‘Lestari Agro, Perak Makmur’, Pavilion Perak lebih memberi tumpuan kepada tanaman berasaskan makanan, penggunaan teknologi dalam pertanian serta penerokaan Ekonomi Biru seiring dengan tema penganjuran MAHA yang ke-100 tahun iaitu ‘Menuai Harapan Membina Masa Hadapan’.

Lebih menarik lagi ruang pameran Pavilion Perak menampilkan Pameran Lemari Makanan yang memperkenalkan agenda Perak Sejahtera 2030 yang turut memberi tumpuan kepada pembangunan keterjaminan makanan.

Pavilion Perak telah mengetengahkan Projek Rintis Bawang Perak dan Kebun Kerang Terbesar di Malaysia yang merupakan usaha Bersama Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama Kerajaan Perseketuan.

Ia bagi memastikan keterjaminan makanan di negeri ini selaras dengan Hasrat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun pada sidang media kejayaan Perak mengekalkan kejuaraan enam kali berturut-turut sebagai pavilion terbaik Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Sungai Siput. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 OKTOBER 2024.

Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, lebih 300,000 pengunjung direkodkan mengunjungi Pavilion Perak sepanjang MAHA 2024 berlangsung.

Ujar beliau, setiap hari ratusan hadiah menarik diagihkan kepada pengunjung yang menyertai aktiviti-aktiviti disediakan termasuklah sesi kuiz pelancongan setiap hari.

Katanya, Pavilion Perak turut menerima kehadiran Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Menteri Besar Perak dan juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Alhamdulillah, pada penganjuran MAHA kali ini. Pavilion Negeri Perak telah dinobatkan sebagai Pavilion@Laman IDOL MAHA 2024, iaitu anugerah utama yang dipertandingkan Penganjuran MAHA tahun ini.

“Pada penganjuran MAHA yang lepas, Pavilion Negeri Perak telah mengungguli Kategori Pavilion Negeri Terbaik MAHA sejak tahun 2012 di mana kategori ini dipertandingkan di antara pavilion-pavilion negeri sahaja.

“Syukur alhamdulillah, pada tahun ini dengan pengenalan kategori pertandingan baharu, Pavilion Negeri Perak tetap unggul apabila memenangi anugerah keseluruhan iaitu anugerah Pavilion@Laman IDOL MAHA 2024,” katanya.

Foto, FB MAHA Pavilion Perak.

Tambah beliau, kerjasama tanpa henti daripada semua jabatan dan agensi yang terlibat menjadi penyumbang utama kepada Perak mengekalkan kemenangan pada MAHA 2024.

“Perancangan untuk MAHA 2024 telah dimulakan sejak tahun lepas, sejurus selepas penganjuran mini MAHA peringkat negeri iaitu AgroFest pada tahun 2023.

“Kesinambungan kerjasama ini diteruskan bagi memastikan penganjuran MAHA kali ini mencapai kejayaan,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Perak yang diketuai Saarani sebagai Menteri Besar Perak melihat pentas MAHA sebagai platform berkesan dalam mempromosi negeri ini melalui perkongsian ilmu dalam bidang pertanian, penternakan, perikanan dan lain-lain.

Selain itu, MAHA juga dijadikan sebagai medan pendedahan kepada para pengunjung mengenai kekayaan budaya, keindahan destinasi pelancongan serta makanan istimewa di Perak.

Maka tidak hairanlah sekiranya Kerajaan Negeri Perak berani melabur untuk memastikan Pavilion Negeri Perak di MAHA sarat dengan pengisian dan mesej yang ingin disampaikan.

Apatah lagi dengan kehadiran media sosial pada zaman ini, segala kebaikan yang ditonjolkan pasti akan menjadi bualan pengunjung serta dikongsikan di media sosial. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

MAHA 2024: Pavilion Perak kekalkan kejuaraan kali keenam

MAHA 2024: Sultan Nazrin berangkat ke Pavilion Negeri Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI