TAPAH – Parti Cinta Malaysia (PCM) Perak percaya kestabilan dan kemajuan negeri dapat dicapai melalui kerjasama erat antara kaum, kesepakatan politik yang matang, serta wakil rakyat yang memahami denyut nadi semua lapisan masyarakat.
Justeru itu, Pengerusinya, Alvin Phang dalam satu kenyataan menyeru pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mengundi calon Barisan Nasional, Dr Mohamad Yusri Bakir pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 26 April ini.
Menurut beliau, Mohamad Yusri atau lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri merupakan seorang tokoh yang berwibawa, berpengalaman, dan sentiasa mengutamakan keharmonian serta pembangunan menyeluruh untuk semua kaum tanpa mengira latar belakang.
“Saya menyeru seluruh pengundi di kawasan DUN N.48 Ayer Kuning, khususnya dari kalangan masyarakat bukan Melayu, untuk memberikan sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi kepada calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, pada PRK kali ini.
“Kami yakin beliau mampu membawa suara rakyat Ayer Kuning dengan berani dan bijaksana dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Tambah beliau sebagai sebuah parti dalam gabungan “Friends of BN”, PCM berdiri teguh menyokong kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, bahawa PRK ini merupakan peluang terbaik untuk rakyat Ayer Kuning memilih calon yang benar-benar mampu membawa suara perpaduan, kestabilan politik, dan pembangunan yang inklusif.
Phang turut menyeru semua pihak agar menjalankan kempen secara sihat, beradab, dan berteraskan fakta serta tidak membiarkan biarkan sentimen perkauman atau politik sempit memecah-belahkan perpaduan yang kita telah bina sekian lama.
“Undilah calon yang membawa harapan dan perpaduan, bukanlah kebencian dan perpecahan. Undilah calon Barisan Nasional, undilah Dr Mohamad Yusri Bakir,” katanya. -MG Perak