IPOH – Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menetapkan 1 Ogos depan sebagai sebutan semula kes untuk menentukan tarikh pendengaran permohonan jaminan terhadap seorang pegawai kanan polis yang didakwa membunuh seorang pelajar Tingkatan Lima pada Disember tahun lalu.
Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet turut mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan penghujahan bertulis serta hujahan balas secara serentak sebelum atau pada tarikh pendengaran tersebut.
Dalam prosiding tersebut, Bhupindar Singh memaklumkan beliau hanya akan menetapkan tarikh perbicaraan untuk mendengar permohonan usul ikat jamin terhadap Mohd Nazri Abdul Razak, 45, selepas penghujahan bertulis difailkan oleh kedua-dua pihak.
Pada 14 Mei lalu, Mohd Nazri yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dengan memegang pangkat Deputi Superintendan (DSP) mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan membunuh terhadapnya dibacakan di hadapan Bhupindar Singh.
Prosiding pada hari tersebut turut menetapkan 1 Julai untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen selepas peguam Mohd Nazri, Jacky Loi Yap Loong memaklumkan pihaknya memfailkan usul supaya tertuduh dibenarkan diikat jamin.
Mahkamah turut menetapkan 30 hari untuk perbicaraan kes berkenaan yang bermula 4 November 2024 hingga 17 Januari 2025.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, Nasrul Hadi Abdul Ghani, Geetha Jora Singh dan Low Qin Hui manakala peguambela tertuduh diwakili Yap Loong, Lim Chi Chau dan Lim Jin Wen.
Turut hadir peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa, Yasmin Khalid.
Sebelum ini, Mohd Nazri didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, antara jam 12.05 tengah hari hingga jam 12.40 tengah hari, 15 Disember lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang daripada 12 sebatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pegawai polis didakwa bunuh pelajar: Kes dipindah ke Mahkamah Tinggi
Pegawai polis dakwa bunuh pelajar: Mahkamah tetapkan perbicaraan 30 hari