TANJUNG MALIM – Malaysia terus mengalu-alukan kemasukan pelaburan asing termasuk dalam industri kenderaan elektrik (EV), namun pelaburan tersebut perlu berkembang seiring dengan ekosistem tempatan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat dan negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pelabur asing tidak seharusnya hanya menjadikan negara ini sebagai pasaran untuk menjual produk, sebaliknya perlu mewujudkan kerjasama strategik dengan syarikat serta pemain industri komponen tempatan.
Katanya, kerajaan mengharapkan agar setiap pelaburan asing dapat membawa nilai tambah kepada rakyat dan ekonomi negara sebagai timbal balik kepada pelbagai insentif yang disediakan.

“Kita mahu pelabur yang datang ke negara kita mesti ‘coexist’ (wujud bersama dengan ekosistem tempatan), dan bukan datang untuk membunuh pelaburan sedia ada.
“Mereka perlu membina ekosistem bersama industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan pengeluar komponen tempatan supaya semua pihak mendapat manfaat daripada segi peluang pekerjaan, keuntungan dan hasil kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pelancaran pemasangan tempatan (CKD) kenderaan Proton e.MAS 7 PHEV pada Sesi Libat Urus Strategik Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Proton di Kilang EV PROTON di sini, pada Jumaat.
Johari berkata, kerjasama strategik antara Proton Holdings Berhad (Proton) dan Geely merupakan contoh terbaik model pelaburan asing yang saling melengkapi apabila kedua-dua syarikat berkongsi teknologi, kepakaran serta membangunkan harta intelek (IP) di Malaysia.

Kata beliau, pendekatan itu membolehkan syarikat jenama kereta nasional itu terus meningkatkan keupayaan teknologi dan daya saing, sekali gus mengukuhkan industri automotif negara.
Menurut beliau, usaha Proton meningkatkan kandungan tempatan dalam pengeluaran kenderaan turut membuktikan pelaburan strategik mampu memberi limpahan manfaat kepada industri tempatan.
Jelas beliau, kadar penyetempatan atau ‘localisation’ bagi beberapa model Proton kini mencecah sehingga 82 peratus, manakala sebahagian lagi sekitar 72 peratus, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pengeluar komponen tempatan.
“Proton pada hari ini tidak lagi sama seperti 30 atau 40 tahun lalu. Kerjasama strategik Geely dengan Proton berjaya membina sebuah industri automotif yang suatu ketika dahulu hampir ditutup.
“Hari ini Proton menggaji kira-kira 9,700 pekerja, selain berjaya mencatat pengeluaran melebihi 150,000 kenderaan dalam tempoh setahun,” katanya lagi.
Mengulas lanjut Johari berkata, pembangunan industri berteknologi tinggi memerlukan kerjasama dengan syarikat global yang memiliki kepakaran serta teknologi, sebagaimana kejayaan sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Jelas beliau, sektor tersebut dilihat semakin berkembang sejak beberapa dekad lalu sehingga kini mencatat nilai eksport semikonduktor melebihi RM500 bilion dan eksport keseluruhan E&E sekitar RM711 bilion, selain menyediakan kira-kira 645,000 peluang pekerjaan.
“Kalau kita tidak mempunyai teknologi, kita perlukan rakan yang mempunyai teknologi. Mereka melabur, tetapi kita juga mendapat manfaat melalui pekerjaan, pemindahan teknologi dan penglibatan syarikat tempatan.
“Itulah konsep yang kita mahu, iaitu pelaburan yang saling melengkapi dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.
Mengulas prestasi perdagangan negara, Johari berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kebergantungan terhadap import yang kini mencecah RM1.45 trilion supaya lebihan dagangan negara terus berkembang.

Beliau berkata, lebihan dagangan Malaysia bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini telah mencecah RM147 bilion, hampir menyamai RM151 bilion yang direkodkan bagi keseluruhan tahun lalu.
“Walaupun eksport kita terus berkembang, namun import juga meningkat sehingga menyebabkan lebihan dagangan semakin menguncup. Kita mahu pastikan keadaan itu tidak berterusan, sebaliknya lebihan dagangan negara terus berkembang,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, anak syarikat Proton, Pro-Net dalam satu kenyataan memaklumkan pengeluaran Proton e.MAS 7 PHEV secara CKD menandakan langkah seterusnya dalam usaha penyetempatan.
Menerusi satu kenyataan syarikat berkenaan memaklumkan, inisiatif itu melibatkan penglibatan pembekal tempatan merentasi rantaian nilai automotif, dengan 30 peratus komponen kenderaan diperoleh daripada sumber tempatan.
“Dengan kesemua model Proton e.MAS berserta varian masing-masing kini dipasang secara tempatan, usaha ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi Pro-Net dan industri automotif Malaysia,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


