Pelaburan kumpulan Sunway RM4 bilion bantu ubah landskap Perak

IPOH – Pembinaan Sunway Ipoh Mall bakal mengubah wajah Ipoh secara fizikal tetapi juga akan menggamit pertumbuhan lebih pesat Bandar Sunway, Tambun yang selama ini menjadi antara lokasi tumpuan bukan sahaja penduduk tempatan, malahan pelancong dalam dan luar negara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, dalam kerancakan membangunkan negeri, isu kebajikan rakyat yang tidak berdaya mesti ditangani.

Menurutnya, di tengah-tengah kepesatan pembangunan di bandar masih terdapat insan-insan yang mungkin dihimpit kesusahan dan keluarga miskin yang mesti kita upayakan.

“Di sinilah saya melihat pentingnya kerjasama erat yang terjalin antara kerajaan dan swasta. Dalam kita berkolaborasi memacu kemajuan, jangan sesekali kita lupa untuk memastikan kehidupan golongan susah dapat diberi perhatian.

“Dalam konteks ini, saya sangat menghargai peranan semua pihak termasuk Kumpulan Sunway untuk kita sama-sama memastikan bandar raya ini bukan sahaja maju dari aspek infrastrukturnya, tetapi warganya saling bantu membantu agar kemajuan yang dikecapi dapat dinikmati oleh semua.

“Kumpulan Sunway telah membuktikan diri sebagai rakan kongsi yang berdedikasi dalam pembangunan Perak sejak tiga dekad lalu.

“Sunway City Ipoh adalah contoh cemerlang bagaimana kerjasama awam-swasta boleh mengubah sebuah kawasan menjadi bandar moden yang sofistikated, sekali gus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Sunway Ipoh Mall di Sunway Onsen Suites, Lost World of Tambun, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah; Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Pelaburan kumpulan Sunway berjumlah RM4 bilion bantu ubah landskap Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Pecah Tanah Sunway Ipoh Mall di Sunway Onsen Suites, Ipoh. Turut hadir,Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah. Foto: Aniq Nabilafiq Anuar

Dalam pada itu, Saarani berkata, pelaburan baharu Sunway berjumlah RM4 bilion ini amat signifikan dalam mengubah landskap Perak yang akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan serta menjana pelbagai peluang perniagaan baharu.

“Ini selaras dengan matlamat kita untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Projek-projek berskala besar seperti ini turut meningkatkan kemudahan infrastruktur dan jaringan perhubungan di Perak.

“Contohnya, projek kerjasama antara MBI dan Sunway City Ipoh untuk menaik taraf Jalan Tambun sepanjang 5.2 kilometer dengan kos RM16.35 juta.

“Projek ini melibatkan perkongsian kos antara kerajaan negeri (RM8 juta) dan Sunway (RM8.35 juta), merangkumi pembinaan jalan, pengambilan balik tanah dan pelantikan jurutera perunding.

“Usaha-usaha sebegini telah berjaya mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan aksesibiliti, memberi manfaat kepada pelbagai sektor termasuk pelancongan dan logistik.

“Ini juga selaras dengan matlamat Sunway City Ipoh untuk menjadi destinasi rehat dan rekreasi utama bagi pelancong dalam perjalanan antara Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pembangunan yang dilaksanakan dapat mengangkat Ipoh menjadi sebuah bandar metropolis antarabangsa serta mengembalikan kedudukan Perak sebagai salah satu negeri paling maju di Malaysia.

Justeru, Saarani berkata, kerajaan negeri memerlukan lebih banyak kolaborasi strategik sebegini bersama pemain industri. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sunway Ipoh Mall bernilai RM1 bilion tawar gelanggang luncur ais pertama di Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI