Pelancong hilang: Kawasan pencarian diperluas lepasi sempadan Perak

IPOH – Kawasan pencarian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelancong dari India yang hilang sejak 22 Sept lepas ketika mendaki Gunung Jasar, Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang diperluas melepasi sempadan Perak, semalam.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Azri Ramli berkata sepasukan penyelamat terdiri daripada 93 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Malim Gunung Cameron Highlands dan Radio Communication and Recreation Club telah dikerah untuk meneruskan misi pencarian tersebut.

Beliau berkata polis juga telah memohon bantuan helikopter daripada Pasukan Gerakan Udara yang berpangkalan di bandar raya ini untuk meninjau kawasan sukar diakses oleh pasukan SAR bagi misi pencarian pada hari kelima itu.

Menurut Azri Pos Kawalan Tempat Kejadian juga telah disertai oleh Jabatan Penerangan Cameron Highlands dan Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands.

“Hari ini misi pencarian telah memasuki hari keenam dan seramai 101 orang daripada pelbagai agensi telah menyertai misi pencarian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azri sehubungan itu, menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut dan menghubungi bilik gerakan (DCC) menerusi talian 05-4915 999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran, sekiranya mempunyai sebarang maklumat.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk tidak menularkan maklumat tidak sahih menerusi laman media sosial.

Sebelum ini, Azri dalam kenyataan memaklumkan Nandan Suresh Nadkarni, 44, dilaporkan hilang selepas mendaki Gunung Jasar, sejak 22 Sept lepas.

Mangsa telah mendaftar masuk ke Hikers Sleep Port Guest House, Tanah Rata pada 19 Sept dan sepatutnya mendaftar keluar pada 24 Sept.

Hasil siasatan awal polis mendapati pada 22 Sept, mangsa telah keluar dari hotel seorang diri untuk melakukan aktiviti pendakian di trail 10 Gunung Jasar, berdasarkan beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh di sekitar kawasan Tanah Rata.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI