IPOH – Karnival Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh Ke-38 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung setempat dan luar yang hadir bagi memeriahkan pelbagai aktiviti sepanjang hari, pada Khamis.
Program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 10 malam itu dianjurkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersempena sambutan ulang tahun bandar raya dengan mengetengahkan tema ‘Menjulang Aspirasi, Bandar Raya Bestari.
MBI dalam satu kenyataan memaklumkan, karnival berkenaan menjadi platform menghimpunkan komuniti, agensi kerajaan, rakan strategik dan masyarakat setempat menerusi pelbagai pengisian berteraskan kesihatan, pendidikan, keusahawanan serta gaya hidup.

Katanya, penganjuran karnival itu juga mencerminkan komitmen MBI dalam memperkukuh pembangunan bandar raya yang progresif, inklusif dan sejahtera.
“Antara tarikan utama karnival ialah Program Komuniti Sejahtera yang menawarkan pelbagai pemeriksaan kesihatan dan perkhidmatan komuniti secara percuma.
“Program ini mendapat perhatian ramai apabila menghimpunkan pelbagai agensi, hospital, klinik serta rakan strategik kesihatan dalam satu lokasi bagi memberikan manfaat langsung kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah MBI, selain Program Derma Darah yang turut mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung, Karnival Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh Ke-38 itu juga diselitkan dengan pengisian untuk golongan belia.
Katanya, antara acara yang dianjurkan untuk golongan berkenaan adalah ‘Be Better Workshop’ bersama ‘CuteCarry’ dan ‘Gen Z Tall’ bersama ‘MadNor’ yang mengetengahkan aspek pembangunan diri, komunikasi berkesan, gaya hidup positif serta kesedaran kesihatan mental.

Menurut MBI lagi, kawasan sekitar ICC turut dimeriahkan dengan pelbagai jualan dan pameran termasuk acara ‘Pop Up Market x Pekan Pop Up’, ‘Food Street’, Jualan Rahmah serta ‘Mini Roadshow Big Bad Wolf Books’.
Ujarnya, pelbagai produk tempatan, makanan dan minuman, barangan terpakai, kraftangan, aksesori serta bahan bacaan ditawarkan kepada pengunjung di setiap acara berkenaan.
Justeru katanya, ia sekali gus membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memperluaskan jaringan pelanggan dan mempromosikan produk masing-masing.
“Peminat kopi pula tidak melepaskan peluang menyertai Klinik Barista dan Demo Latte Art yang memberikan pendedahan kepada kemahiran asas penyediaan kopi secara praktikal.
“Program ini turut dilihat berpotensi mencetuskan minat baharu dalam kalangan peserta terhadap bidang kemahiran dan keusahawanan berasaskan kopi,” tambahnya.
Tambah kenyataan sama, MBI turut berharap agar karnival seumpama ini dapat terus menjadi acara tahunan untuk warga kota selain memperkukuh imej Ipoh sebagai bandar raya yang dinamik, mesra komuniti, berdaya saing dan sejahtera. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Ipoh Bandar Muzik’ sasar 10,000 pengunjung, tarik penyertaan dari China, Colombia


