Pemilik premis ‘liang lahad’ bakal berdepan tindakan undang-undang

IPOH – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis yang dengan sengaja mengubah suai ruang premis untuk disewakan dalam keadaan sempit seolah-olah seperti ‘bilik liang lahad’ atau ‘bilik sangkar burung’.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia disifatkan sebagai tidak kondusif dan tidak berperikemanusiaan, malah dikhuatiri mengundang risiko mengancam keselamatan serta kesihatan mental ke atas penyewa.

Beliau memberi amaran kepada pemilik untuk melakukan ubah suai semula terhadap premis dalam kadar segera dan sekiranya masih berdegil, mereka bakal berhadapan tindakan di bawah Seksyen 79, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Kor Ming berkata di bawah peruntukan itu, pemilik premis dilarang membuat apa-apa sekatan atau binaan lain tanpa mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sekiranya didapati bersalah mereka boleh didenda tidak melebihi RM500 dan tambahan tidak melebihi RM100 bagi tiap-tiap kesalahan selepas sabitan.

“Sekiranya masih ada lagi pihak yang gagal mematuhi undang-undang maka mereka tidak boleh salahkan kepada kerajaan dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Sekiranya nak buat pengubahsuaian sila pohon kepada PBT, dan bukan membuat pembahagian yang berlebihan ataupun keterlaluan sehingga membahayakan nyawa para penyewa.

“Selain itu, saya juga sudah bincang dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang juga memandang serius masalah ini, dan tindakan undang-undang akan disusuli jika keadaan masih tidak bertambah baik,” katanya.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 OKTOBER 2023

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji, di sini, pada Ahad.

Kor Ming berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar Sinar Harian terdapat pemilik premis yang menyediakan bilik sewa yang sempit sehingga digambarkan seperti liang lahad dengan kadar bayaran tidak masuk akal di Lembah Klang.

Laporan itu mendedahkan sebuah rumah kedai dua tingkat telah mengubah suai ruang tingkat atas dengan menempatkan 38 bilik seperti kapsul yang hanya berukuran 21 meter x 6 meter selain keadaan persekitaran daif.

Sebanyak RM300 kadar bayaran sewa bulanan dikenakan kepada penyewa untuk menghuni bilik yang hanya boleh memuatkan tilam bujang dan kipas dinding.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menunjukkan akhbar Sinar Harian mengenai tajuk utama Bilik Sewa Sangkar Burung pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 OKTOBER 2023

Sementara itu Kor Ming berkata beliau berharap tindakan segera dapat diambil oleh pemilik premis itu sebelum sebarang kemalangan berlaku sehingga dikhuatiri melibatkan kehilangan nyawa yang ramai.

Beliau juga meminta agar mana-mana penyewa yang berhadapan masalah sama terhadap premis yang disewa untuk memanjangkan perkara itu kepada KPKT melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) dan aplikasi i-Tegur. -MG Perak

Ikuti kami di media sosial

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI