KAMPAR – Penantian penduduk di sini untuk mendapatkan bangunan Hospital Kampar yang baharu bakal menemui noktah apabila projek pembangunannya dijangka siap dalam tempoh lima tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A. Sivanesan berkata ia susulan kawasan seluas 11.72 hektar di Changkat Baru, dekat sini telah dikenal pasti sebagai tapak baharu pembinaan hospital berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini terdapat beberapa cadangan lokasi pembinaan dikemukakan kepada kerajaan negeri, namun didapati tidak sesuai dengan sebahagiannya merupakan tapak lombong lama.
Justeru beliau berkata lokasi baharu yang terletak kira-kira 10 kilometers (km) dari lokasi asal itu amat sesuai memandangkan ia berada di antara kawasan parlimen Kampar dan Gopeng.
Malah Sivanesan berkata ia merupakan kawasan tanah rata jika dibandingkan dengan lokasi Hospital Kampar sedia ada yang berbukit.
“Pejabat Tanah dan Galian (PTG) akan meneruskan proses seterusnya membawa kertas cadangan tapak ini kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri bagi tujuan kelulusan dalam masa terdekat.
“Sekiranya semua berjalan lancar, pembinaan hospital ini akan dimulakan segera, dan kita jangka ia siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tapak pada Isnin, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin dan Pengarah Hospital Kampar, Dr Khairul Azha Azam.
Sivanesan berkata, kemudahan hospital baru itu sangat diperlukan bagi menampung penambahan jumlah pesakit untuk mendapatkan rawatan selepas hospital sedia ada berada dalam keadaan uzur.
Malah katanya adakala hospital berkenaan berhadapan dengan masalah bekalan air susulan tangki sedia ada tidak mampu menampung keperluan yang makin bertambah dari semasa ke semasa.
“Warga Kampar sememangnya telah lama menantikan untuk hospital baru kerana hospital sedia ada usianya lebih 60 tahun, laluan sempit (berbukit) serta, tidak sesuai untuk dilakukan penambahan.
“Jadi dengan peruntukan yang telah sedia ada ini, komitmen kerajaan negeri kini adalah untuk memastikan pembinaan hospital ini menjadi realiti,” jelasnya lagi.
Cadangan bagi pembinaan Hospital Baharu Kampar telah diusul sejak tahun 2018 dan peruntukannya pula diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Belanjawan 2020 dengan jumlah RM500 juta. – MG Perak