Pengantungan PAFA: Keputusan EGM ditentukan oleh PJS

PARIT – Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), sedang menunggu maklum balas Pesuruhjaya Sukan (PJS) berhubung status Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang telah diadakan persatuan berkenaan pada 22 Disember 2023.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, mesyuarat berkenaan diuruskan oleh jawatankuasa adhoc komuniti bersama jawatankuasa bertindak yang diketuai oleh pakar berkaitan sukan dan perlembagaan.

“Saya difahamkan laporan berkaitan pelaksanaan EGM telah dihantar kepada PJS untuk dipanjangkan kepada Menteri Belia dan Sukan untuk dibuat tindakan yang sewajarnya.

“Kita masih menanti laporan dan tindakan daripada PJS dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkaitan status permohonan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Bersepadu Madani dan Pendaftaran PADU di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Bota Kiri, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Khairudin berkata, Kerajaan Negeri Perak berharap agar pelaksanaan EGM tersebut sah bagi membolehkan Jawatankuasa Eksekutif PAFA yang dilantik dapat melaksanakan tugas dengan kadar segera.

Ujar beliau, seperti yang yang diketahui umum PAFA sudah lama tidak berfungsi atas ketidakakuran kepada peraturan dan kehendak PJS itu sendiri.

“Maka kita masih menanti maklumat terkini daripada PJS dan juga pihak pejabat Menteri Belia dan Sukan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar setiap masjid menganjurkan sukan elektronik (e-sukan), Khairudin berkata, Jabatan Belia dan Sukan serta Majlis Belia dan Sukan Perak akan perbincangan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

“Kita tahu e-sukan merupakan salah satu budaya sekarang ini dan cukup popular dalam kalangan orang muda dan pihak kerajaan negeri dalam Bajet 2024 memang ada peruntukan yang disalurkan untuk e-sukan ini.

“Kita juga berbincang dengan JAIPk untuk pastikan bahawa titah tuanku dapat kita laksanakan dengan sebaik mungkin dengan menggunakan pendekatan supaya masjid menjadi salah satu tempat golongan remaja berkumpul selain beramal ibadat,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Penggantungan PAFA, Perak FC harap segera diselesaikan KBS

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI